|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KANTIN sekolah bukan sekadar tempat pelajar makan, malah menjadi ruang sosial untuk berinteraksi dan berehat.
Peralatan sekolah
Dekorasi yang menarik dan teratur mampu meningkatkan keselesaan, menggalakkan kebersihan serta memberi impak positif kepada semangat pelajar.
Susunan meja, warna dan elemen visual yang kreatif bukan sahaja memperindahkan ruang, bahkan menyokong gaya hidup sihat dan membentuk budaya positif dalam kalangan pelajar.
Motivasi tersebut mendorong dua graduan perubatan daripada University of Cyberjaya, Nur Arina Najwa Mohamed Sabri dan Fathimatuzahra Mohd. Farid untuk menaik taraf kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi, Selangor.
Nur Arina Najwa berkata, projek hiasan dalaman itu dijalankan hasil inisiatif pengusaha kantin sekolah.
Katanya, aktiviti dekorasi itu juga dapat mengisi masa lapangnya, sementara menunggu penempatan housemanship di hospital.
“Sudah 10 tahun kantin sekolah ini diuruskan oleh ibu saudara saya, Norliza Ahmad Kharman Shah.
“Tahun ini, ibu saudara saya mengambil inisiatif untuk mentransformasikan kantin itu kerana sangat memerlukan baik pulih.
“Kebetulan, kami sedang menunggu penempatan housemanship. Jadi, kami telah diberikan kepercayaan penuh untuk menaik taraf kantin ini tanpa bantuan pereka hiasan dalaman profesional,” katanya kepada CitaRasa.
Dari segi konsep dan reka bentuk, kantin SMK Bandar Baru Bangi menggabungkan elemen retro dan moden bagi menghasilkan suasana seperti sebuah kafe moden.
Inspirasi bagi pemilihan warna, susunan ruang dan elemen hiasan diperoleh sepenuhnya daripada laman Pinterest dan nasihat daripada ibu Fathimatuzahra, Mastura Adam yang merupakan Pensyarah Seni Bina di Universiti Malaya.
Katanya, mereka mengekalkan jubin lama yang dipadankan dengan warna sage green bagi memberi suasana segar, tenang dan ceria.
Gerai-gerai di kantin turut diperbaharui dengan menggantikan banner lama, menambah panel kayu, serta dicat warna hijau.
Setiap gerai turut dilengkapi dengan tanda dan kata-kata motivasi seperti Brain Food serta Yummy untuk menarik perhatian para pelajar.
Susunan meja dan kerusi disusun semula bagi memaksimumkan ruang dan efisiensi.
Walaupun penambahan tiga gerai kecil telah mengurangkan ruang makan, namun kawasan tambahan di tepi kantin turut disediakan untuk menampung jumlah pelajar.
Bilik makan guru pula diubah suai dengan konsep minimalis ala kafe yang lengkap dengan windscoating, panel kayu, lampu sorot serta tanda The Break Room Cafe.
Sementara itu, Fathimatuzahra berkata, cabaran utama projek tersebut adalah tempoh masa yang terhad iaitu hanya tiga minggu.
“Kami selesaikan projek ini dalam waktu singkat iaitu semasa cuti sekolah akhir tahun lalu.
Peralatan sekolah
“Kantin lama ini berada dalam keadaan usang dan memerlukan naik taraf, namun pelaksanaannya perlu dilakukan dengan kos rendah.
“Kos keseluruhan bagi projek ubah suai kantin ini dianggarkan sekitar RM30,000, termasuk bayaran kepada kontraktor, kos cat dan bahan-bahan tambahan,” katanya.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |