Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
Title :Rangka 9,000 tahun rekod 'kekuatan' generasi purba
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :02 Februari 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
RANGKA manusia prasejarah yang ditemui di gua batu kapur Lembah Nenggiri, Kelantan, seolah-olah membawa suara dari masa silam, membisikkan kisah mengenai kehidupan ribuan tahun sebelum era moden. Penemuan rangka berusia sekitar 9,000 tahun ini bukan sekadar serpihan sejarah, tetapi seperti gerbang kepada pemahaman baharu mengenai kesihatan manusia awal di rantau ini. Hasil kajian awal menunjukkan tahap kesihatan dan struktur tulang mereka hampir serupa dengan manusia moden hari ini, yang nyata mengejutkan sekali gus menolak tanggapan lama bahawa kehidupan prasejarah lebih lemah secara fizikal. Dapatan penting itu diperoleh menerusi kajian kerjasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Warisan Negara (JWN), yang buat pertama kali membandingkan ciri biologi tulang prasejarah tempatan dengan tulang manusia moden menggunakan pendekatan sains perubatan. Kajian bertajuk Status Kesihatan Tulang Manusia Prasejarah Semenanjung Malaysia diketuai oleh Prof Dr Ima Nirwana Soelaiman, dari Fakulti Perubatan UKM, bersama pasukan penyelidik pelbagai disiplin termasuk farmakologi, anatomi, pergigian forensik dan arkeologi. Dr Ima Nirwana mengimbas kembali detik penemuan rangka yang kini dipamerkan dan dikaji, ditemui dalam Gua Chawan, iaitu salah satu tapak arkeologi penting di Lembah Nenggiri, manakala ekskavasi dilakukan dengan bantuan JWN sejak 2019. "Setakat ini, kami sudah mengkaji empat rangka manusia prasejarah dari Gua Chawan. Sebenarnya, terdapat kira-kira 18 rangka yang ditemui di kawasan Lembah Nenggiri, namun hanya empat yang berada dalam keadaan sesuai untuk kajian perubatan dan pengimejan," katanya pada Majlis Perasmian Pameran Rangka Manusia Prasejarah di Muzium Anatomi, Fakulti Perubatan UKM, baru-baru ini. Rangka-rangka prasejarah ini, setelah dibersihkan, disusun dan dipelihara dengan teliti oleh JWN, kemudiannya dianalisis menggunakan teknik imbasan moden oleh pasukan UKM. Hasil kajian mendapati tiada perbezaan ketara antara tulang manusia prasejarah dan manusia moden dari segi rupa bentuk, ketumpatan serta struktur dalaman. "Dari segi rupa bentuk, ukuran tulang manusia prasejarah hampir sama dengan manusia moden. Ketumpatan tulang dan struktur dalaman tulang berongga (trabecular bone) juga menunjukkan persamaan yang sangat ketara," katanya. Hal ini tegas beliau, menjelaskan bagaimana kekuatan tulang zaman dahulu ternyata setara dengan hari ini, walaupun hidup ribuan tahun tanpa bantuan teknologi perubatan moden. Walaupun sampel kajian masih kecil dan memerlukan kajian lanjut untuk mengukuhkan dapatan, beliau melihat rangka-rangka itu sebagai cerminan gaya hidup sihat masyarakat prasejarah. "Tulang mereka kuat dan tidak rapuh walaupun sudah berusia ribuan tahun. Ini menunjukkan mereka menjalani kehidupan yang aktif sebagai pemburu-pengumpul dan mengambil makanan yang lebih organik tanpa bahan pengawet," katanya, sekali gus penemuan itu membantu kita membayangkan kehidupan harian generasi lampau yang bergerak bebas di hutan dan lembah. Dalam analisis lanjut, kajian berkenaan turut mendapati ketinggian fizikal manusia prasejarah yang dikaji hampir sama dengan manusia moden, rangka wanita sekitar 160 sentimeter, manakala lelaki antara 163 hingga 172 sentimeter, menambah pengetahuan tidak terduga mengenai manusia purba. Tambahnya, walaupun penemuan rangka manusia prasejarah bukan perkara baharu di Malaysia, kajian biologi perbandingan ini adalah yang pertama seumpamanya dijalankan di negara ini. "Ia adalah kali pertama kita mengambil ciri biologi tulang prasejarah dan membandingkannya secara saintifik dengan tulang moden tempatan dan hasilnya hampir sama. "Cabaran kajian ini bukan kecil. Kekangan peralatan dan keadaan rangka yang sangat rapuh menjadi halangan besar. "Mesin imbasan Micro-CT yang diperlukan hanya terdapat di Universiti Teknologi MARA, Sungai Buloh dan bernilai antara RM3 hingga RM4 juta. Rangka ini pula sangat rapuh untuk dipindahkan. Ada juga yang sudah membatu dan tidak boleh diimbas," katanya. Hal ini sekali gus menggambarkan betapa rumitnya usaha menyatukan teknologi moden dengan peninggalan kuno. Sementara itu penyelidikan sama oleh Pakar Odontologi Forensik, Fakulti Pergigian UKM, Dr Nor Atika Md Ashar, berperanan penting dalam menentukan jantina dan anggaran usia rangka melalui analisis rahang bawah dan gigi. Kongsi beliau, gigi adalah struktur paling tahan lama dalam tubuh kerana kandungan bukan organiknya yang tinggi, membolehkannya kekal walaupun selepas beribu tahun. Berdasarkan perubahan pada permukaan dan struktur dalaman gigi, pasukan penyelidik menganggarkan bahawa rangka yang dikaji mewakili individu berusia antara 25 tahun hingga 40-an ketika mereka meninggal dunia. "Walaupun struktur gigi masih lengkap, ia menunjukkan tahap kehausan yang ketara dipercayai akibat penggunaan gigi secara meluas dalam kehidupan seharian manusia prasejarah. "Zaman dahulu, gigi bukan hanya untuk makan tetapi mereka turut menggunakan gigi sebagai alat untuk memburu, memproses makanan dan membuat peralatan seperti istilahnya 'tooth as tool'," katanya. Tambahnya, hal ini menjadikan setiap deretan gigi itu bukan hanya bukti biologi, tetapi juga bukti budaya manusia purba. Beliau juga menekankan kepentingan pemadanan etnik dalam kajian gigi supaya angka dan ciri yang ditemui tidak dibandingkan secara terus dengan populasi Barat, kerana setiap kumpulan manusia memiliki variasi tersendiri yang mencerminkan evolusi dan adaptasi mereka. Penemuan dan kajian ini bukan sekadar pembongkaran sejarah; ia berpotensi memberi inspirasi kepada pemahaman kesihatan manusia hari ini. Apa yang dulunya tinggal sebagai tulang di dalam gua kini membuka mata dunia mengenai kekuatan, gaya hidup dan kecerdikan nenek moyang kita, satu warisan yang merentasi masa dan terus berada di tengah masyarakat. Jendela kehidupan silam Walaupun ribuan tahun sudah berlalu, tinggalan tulang dan gigi manusia prasejarah masih mampu "bercerita" mengenai kehidupan silam. Keutuhan struktur tulang dan gigi ini menjadi kunci penting kepada penyelidik untuk menelusuri cara hidup, tahap kesihatan serta budaya masyarakat purba yang pernah mendiami Semenanjung Malaysia. Melalui kajian saintifik yang terperinci, sisa jasad ini bukan sekadar tinggalan sejarah, malah menjadi sumber ilmu yang bernilai untuk generasi hari ini. Naib Canselor UKM, Prof Dr Sufian Jusoh, berkata keutuhan tulang dan gigi walaupun setelah ribuan tahun berlalu, membolehkan manusia zaman sekarang mengenali dengan lebih dekat kehidupan manusia di zaman prasejarah. Selain itu katanya, cara pengebumian, alat dan artifak yang berada di sisi rangka serta persekitaran ia ditemukan, memberi gambaran mengenai cara hidup manusia prasejarah. "Oleh kerana hanya tulang dan gigi sahaja yang bertahan setelah ribuan tahun, maka kajian saintifik yang terperinci ke atas tinggalan-tinggalan ini adalah amat wajar diberi perhatian. "Objektif kajian rintis oleh pasukan penyelidik Fakulti Perubatan UKM ke atas ciri-ciri biologi tulang manusia prasejarah adalah untuk menentukan status kesihatan tulang mereka. "Saya difahamkan bahawa kajian ini adalah satu-satunya penyelidikan seumpamanya di negara ini dan membabitkan kerjasama di antara sains perubatan dan pergigian dengan sains sosial. "Justeru, maklumat yang diperoleh akan membantu ahli arkeologi memahami dengan lebih mendalam cara hidup dan budaya masyarakat purba di Semenanjung Malaysia," katanya. Tambah beliau lagi, kefahaman mengenai cara hidup dan budaya masyarakat purba ini apabila digandingkan dengan ciri-ciri biologi tulang, berpotensi untuk menghasilkan hipotesis baharu yang boleh diuji. Malah ia turut mencetuskan penyelidikan-penyelidikan selanjutnya berdasarkan dapatan kajian yang diperoleh. Selain itu, maklumat yang diperoleh daripada kajian masa hadapan itu berpotensi digunakan untuk mempertingkat penjagaan kesihatan masyarakat masa kini. "Keputusan untuk mempamerkan rangka yang sudah selesai dikaji berserta maklumat yang diperoleh di Muzium Anatomi dan Patologi Fakulti Perubatan UKM adalah satu idea yang dialu-alukan. "Inilah salah satu cara bagaimana kita memasyarakatkan penyelidikan yang dijalankan dan menyebarluas ilmu yang ada di universiti untuk dikongsi bersama dengan masyarakat umum," katanya. Rangka manusia prasejarah itu kini dipamerkan di Muzium Anatomi, Fakulti Perubatan UKM dan dibuka kepada orang awam bermula jam 9 pagi hingga 4 petang. Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi Jabatan Anatomi bagi membuat janji temu kerana ia adalah muzium pengajaran.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035