|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperkukuh agenda jaringan strategik industri, komuniti dan alumni dengan pelantikan Profesor Ir Ts Dr Juliana Johari sebagai Timbalan Naib Canselor (TNC) Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni berkuat kuasa esok.
Pelantikan itu selaras fokus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk merapatkan jurang antara institusi pengajian tinggi dan industri melalui kepimpinan universiti yang berwibawa serta berorientasikan kolaborasi strategik berimpak tinggi.
Juliana bakal menerajui agenda memperkukuh jaringan industri, memperkasa pembabitan komuniti dan mempererat hubungan alumni secara lebih tersusun, sistematik serta berimpak.
Berbekalkan pengalaman luas termasuk sebagai bekas Ketua Pegawai Digital dan pengalaman pentadbiran signifikan, beliau dijangka membawa pendekatan berteraskan pendigitalan serta inovasi dalam membina ekosistem jaringan yang lebih efisien dan inklusif.
Pendekatan digital itu diyakini mampu membuka akses lebih luas kepada peluang keusahawanan, latihan industri, pemindahan teknologi dan pembabitan alumni secara lebih strategik dalam pembangunan universiti.
Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts Dr Shahrin Sahib, berkata pihaknya yakin pelantikan Juliana itu mampu memperkukuh ekosistem jaringan universiti.
"Dengan pengalaman kepimpinan dan kepakaran digital dimiliki, saya yakin Juliana mampu memperkukuh ekosistem jaringan industri, komuniti dan alumni secara lebih dinamik serta berimpak dan memacu UiTM ke arah Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional," katanya dalam kenyataan.
Watikah pelantikan Juliana diserahkan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman sambil disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya.
Shahrin berkata, sinergi antara universiti dan industri amat kritikal bagi memastikan graduan dilahirkan relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa serta mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan modal insan negara.
"UiTM kini muncul universiti komprehensif terbesar negara dengan 34 kampus, 24 fakulti dan sembilan pusat akademik di seluruh Malaysia, selain menawarkan lebih 500 program akademik merangkumi peringkat asasi hingga doktor falsafah serta program profesional.
"Universiti turut mencatat pelbagai pencapaian dalam penarafan antarabangsa, termasuk tersenarai dalam QS World University Rankings dan Times Higher Education, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang progresif, dinamik dan berdaya saing," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |