|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| BANGI: Penyanyi, Khai Bahar, bersyukur dapat meneruskan tradisi menganjurkan majlis berbuka puasa bersama golongan memerlukan dengan kerjasama kelab peminatnya, Khai Bahar Empire (KBE).
Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, program berkenaan sudah menjadi rutin sejak beberapa tahun lalu dan sentiasa dinanti-nantikan setiap kali Ramadan.
"Alhamdulillah, tahun ini saya dan KBE berpeluang mengadakan majlis berbuka puasa pada Ramadan ketiga bersama pelajar kurang berkemampuan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
"KBE menguruskan dan bekerjasama dengan pihak universiti dari segi pemilihan pelajar. Setiap tahun kami akan memilih golongan memerlukan seperti anak yatim dan gelandangan.
"Tahun ini kami buat sedikit kelainan kerana sebelum ini mungkin terlepas pandang bahawa ada pelajar yang tidak mampu," katanya pada Majlis Sinar Gemersik Ramadan: Iftar Jama'ie Bersama Khai Bahar di UKM, di sini, kelmarin.
Tambah Khai, seramai 30 pelajar terbabit turut menerima sumbangan duit raya dan cenderahati sebagai tanda keprihatinan serta sokongan terhadap kebajikan mahasiswa.
"Saya pernah berada dalam situasi mereka, jadi saya faham. Disebabkan itu kami pilih untuk meraikan Ramadan bersama mereka.
"Tidak salah untuk saya berkongsi rezeki kerana saya tahu ada pelajar yang kurang berkemampuan," katanya.
Dalam pada itu, Khai merakamkan penghargaan kepada KBE yang sentiasa komited menjayakan majlis dan menguruskan perjalanan program.
Majlis Sinar Gemersik Ramadan: Iftar Jama'ie Bersama Khai Bahar dianjurkan Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi (PMFST) dengan kerjasama KBE bagi menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan sempena Ramadan.
Program itu turut meraikan pelajar UKM di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa, pihak universiti serta rakan strategik industri.
Selain berbuka puasa, acara berkenaan diselitkan dengan pengisian rohani melalui sesi tazkirah, persembahan nyanyian serta sesi bergambar sebagai kenangan buat semua yang hadir.
Khai berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform menyemai nilai murni, memperkukuh hubungan komuniti serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |