|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengangkat sebahagian daripada 10 Lonjakan Transformasi Pendidikan Tinggi yang dikemukan Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) seluruh negara bagi menambahbaik Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Cadangan berkenaan dibentang MPP daripada pelbagai universiti seluruh negara menerusi Makmal dan Dialog Kemenjadian Mahasiswa RPTM yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Cadangan itu antaranya pembelajaran berpaksikan kemanusiaan, bakat berprestasi tinggi, pensijilan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan autonomi mahasiswa dalam hak mengundi.
Selain itu, ia meliputi penyelarasan bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pendidikan fleksibel dan penyampaian responsif menerusi platform U-Care AI.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, program berkenaan antara lain untuk memberi ruang kepada MPP untuk mengemukakan cadangan.
"Majlis yang sangat baik dengan semua pimpinan MPP. Seperti kita lihat tadi, mereka mewujudkan 10 lonjakan yang kita tetapkan dan mereka juga membukakan beberapa cadangan baik dalam 10 kerangka itu.
"…dan insya-Allah sebahagian besar daripada cadangan mereka akan kita masukkan dalam pelaksanaan pelan pendidikan kita," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan berakhir.
Beliau berkata, majlis berkenaan adalah pendekatan terbuka pihaknya untuk mendapat pendapat daripada pemimpin baharu di peringkat universiti.
Terdahulu, program itu menghimpunkan kira-kira 1,000 pemimpin pelajar termasuk politeknik dan kolej komuniti bagi turut memperkasakan peranan dalam landskap pendidikan tinggi negara.
Pada Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 sebagai langkah reformasi pendidikan bagi membina masa depan generasi muda lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.
Di peringkat pendidikan tinggi, RPTM adalah dokumen hala tuju utama pembangunan pendidikan tinggi negara bagi tempoh 10 tahun akan datang, sebagai kesinambungan dan pengganti kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi).
Pelan itu dibangunkan melalui proses libat urus berskala besar membabitkan 181 pakar tempatan dan 8,226 pihak berkepentingan merangkumi para sarjana, tokoh akademik, IPT,pihak industri dan wakil masyarakat daripada pelbagai latar belakang. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |