|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA NERUS: Saintis Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila namanya diabadikan pada spesies baharu parasit ikan yang ditemui penyelidik, sekali gus mengharumkan nama negara dalam bidang sains marin dan akuakultur.
Spesies parasit ikan itu dinamakan Thelohanellus Borkhanuddini sebagai penghormatan kepada Ketua Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC), Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Prof Madya Dr Hafiz Borkhanuddin yang juga bekas Ketua Program Biologi Marin UMT.
Penemuan itu diterbitkan jurnal antarabangsa Aquaculture Reports dan mendapat perhatian media sains antarabangsa, sekali gus meletakkan penyelidikan terbabit dalam radar komuniti saintifik global.
Hafiz berkata, beliau terharu dan berbangga apabila sumbangannya dalam bidang sains marin dan parasitologi ikan diiktiraf sehingga namanya diabadikan dalam rekod taksonomi dunia.
Beliau berkata, lebih membanggakan kerana kajian itu diketuai alumni UMT iaitu Nadhirah Syafiqah Suhaimi yang kini calon doktor falsafah (PhD) di Hungary, sekali gus menunjukkan pembangunan bakat universiti itu membuahkan hasil di peringkat global.
Katanya, penemuan spesies baharu dalam genus Thelohanellus bukan sekadar pencapaian taksonomi, malah mempunyai implikasi terhadap kesihatan ikan ternakan dan produktiviti industri akuakultur.
Beliau berkata, penemuan itu turut menyumbang kepada usaha memperkukuh keselamatan sumber protein akuatik dunia dalam mendepani cabaran keselamatan makanan global.
Penamaan spesies baharu dalam taksonomi saintifik dianggap satu penghormatan tinggi kerana nama berkenaan akan kekal direkodkan dalam literatur saintifik selagi spesies itu diiktiraf komuniti penyelidik antarabangsa. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |