Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Asrol Awang
Title :Sultan Pahang perkenan UniPSAS dijenamakan semula sebagai Universiti Al-Quran
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :06 Februari 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dijenamakan semula dengan nama baharu, Universiti Al-Quran, sekali gus menjadikannya universiti al-Quran pertama di negara ini. Baginda bertitah, usaha memartabatkan agama Islam di Pahang terus diperkukuhkan melalui pengukuhan institusi al-Quran, dengan penubuhan universiti berteraskan pengajian kitab suci itu sebagai teras utama. Titah Al-Sultan Abdullah, penjenamaan semula universiti itu bukan sekadar perubahan nama, sebaliknya menjadi simbol hala tuju yang jelas dalam menjadikan al-Quran sebagai mercu tanda pembangunan ilmu dan rohani negeri. "Penjenamaan ini ibarat mengangkat mercu tanda di puncak negeri, agar jelas kelihatan arah yang dituju dan tujuan yang dijunjung," titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, hari ini. Justeru, baginda menzahirkan harapan Universiti Al-Quran yang bakal disempurnakan pengisytiharannya tidak lama lagi bakal menjadi mata air ilmu yang tidak pernah kering, mengalirkan kefahaman al-Quran ke segenap penjuru serta melahirkan ilmuwan, pendakwah dan pemimpin yang menjadikan wahyu sebagai pedoman. "Penubuhan universiti berkenaan juga diyakini mampu mengangkat Pahang Darul Makmur sebagai negeri ilmu yang diberkati dan dirahmati," titah baginda. Dalam hantaran di FB juga, Sultan Pahang mengajak umat Islam di negeri ini menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh keinsafan, kesungguhan dan tunduk kepada Allah SWT. Baginda bertitah, Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, sebaliknya madrasah jiwa, medan tarbiah rohani serta musim untuk memperkukuh hubungan hamba dengan Pencipta. "Puasa adalah jalan menuju takwa dan takwa itulah akar kepada segala kebaikan. Beberapa usaha wajar diperkasakan sepanjang Ramadan, antaranya memperbanyakkan bacaan, penghayatan dan tadabbur al-Quran, menjaga adab serta akhlak termasuk mengawal lidah dan emosi. "Selain mengamalkan sikap sederhana serta menjauhi pembaziran," titah baginda sambil menegaskan bahawa keindahan Ramadan turut terserlah melalui sikap saling menghormati, bertolak ansur serta membantu golongan yang memerlukan agar keberkatan bulan mulia itu dapat dirasai seluruh lapisan masyarakat. Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Pahang, hakim, urus setia serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan penganjuran Tilawah Al-Quran Peringkat Pahang Kali Ke-69 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini semalam. "Dengan penganjuran majlis berkenaan, ia sekali gus membuktikan syiar Islam terus subur dan diperkasakan di Pahang. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh peserta tilawah dan hafazan al-Quran yang menunjukkan kesungguhan dan disiplin dalam menghayati kalam Allah," titah baginda.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035