|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sedang dalam proses melaksanakan tindakan tatatertib ke atas seorang pelajarnya yang disyaki melakukan hantaran berunsur penghinaan terhadap Islam.
Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias, berkata tindakan itu selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur yang berkuat kuasa.
Universiti itu akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan tegas berhubung kejadian tidak beradab dan menghina agama Islam membabitkan pelajar itu.
"Susulan kejadian ini, siasatan lengkap telah dijalankan dan pendakwaan akan dilaksanakan oleh urusetia tatatertib pelajar.
"UMPSA tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan yang menghasut kebencian mengaitkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam," katanya menerusi hantaran di Facebook UMPSA, hari ini.
Terima memorandum Pemuda UMNO Pekan
Semalam, Dr Yatimah menerima memorandum yang disampaikan Ketua Pemuda UMNO Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed bagi menuntut tindakan tegas terhadap pelajar terbabit.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMPSA mempunyai komuniti pelajar yang berbilang kaum, agama, bangsa dan negara serta sentiasa mengamalkan nilai saling menghormati.
"Kita sekeras-kerasnya menolak sebarang bentuk penghinaan atau kenyataan yang boleh menggugat keharmonian agama dan kaum.
"Apatah lagi sentimen 3R ini tidak boleh dipandang remeh dan setiap individu perlu menjaga batasan serta sensitiviti yang boleh mencetuskan pelbagai reaksi warga maya, termasuk komen atau status yang menyentuh isu sensitif di platform media social.
"UMPSA memandang serius isu ini dan akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan melaksanakan proses tatatertib selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur yang berkuat kuasa," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |