Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Sukma Waja dijangka mampu bina kekuatan masyarakat - Fadhlina
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :16/02/2026 | 16:09 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Program Wanita Jelajah Desa (Sukma Waja) dijangka mampu membina kekuatan dalam masyarakat dan memastikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dapat terus bekerja keras memenangi hati rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek berkata komponen Sukma Waja merangkumi aspek aktivisme melibatkan pasukan untuk turun ke lapangan bagi mendekati masyarakat dan aspek pendidikan pula memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran serta advokasi hak-hak wanita secara berterusan. “Kita percaya bahawa apabila wanita sejahtera, dilindungi dan diberi perhatian dalam pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan, maka negara juga akan sejahtera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukma Waja di Taman Gelora di sini, hari ini.  Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Silat Srikandi Gelanggang Seri Teja yang dihadiri Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pahang Datuk Ahmad Farhan Fauzi dan Timbalan Ketua Wanita PKR Juwairiya Zulkifli. Fadhlina, yang juga Menteri Pendidikan, berkata Sukma Waja akan memberikan tumpuan terhadap golongan wanita, khususnya pada peringkat Parlimen dan parti bagi memastikan komunikasi dan penyampaian maklumat kepada rakyat dapat diperkasakan. “Insya-Allah, dari semasa ke semasa kita akan terus giatkan usaha supaya mesej Sukma Waja khusus untuk kesejahteraan wanita sampai ke seluruh negara,” katanya.  Bercakap tentang Silat Srikandi Gelanggang Seri Teja, beliau berkata seni bela diri itu akan diperkenalkan sebagai antara program signifikan Sukma Waja bagi menggalakkan penyertaan remaja perempuan dalam aktiviti sihat serta mempelajari asas pertahanan diri. “Program ini juga akan disertai dengan pengisian yang disusun Wanita Keadilan Pahang sebagai medium mendidik dan memperkasakan wanita muda,” katanya. Sementara itu, Fadhlina berkata PKR akan terus memperkasakan wanita menerusi usaha meningkatkan perwakilan wanita di Parlimen yang masih belum mencapai 30 peratus. “Jika kita menjaga wanita, memberikan peluang dan ruang kepada mereka termasuk dalam pendidikan yang kini semakin terbuka, saya yakin Malaysia akan terus menjadi contoh dalam konteks kejayaan wanita di Parlimen, Kabinet dan masyarakat,” katanya. -- BERNAMA   
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035