Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Tengku Panglima Perang Pahang ziarah keluarga mendiang Truper Indiran
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :21/02/2026 | 18:33 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
GEORGE TOWN: Tengku Panglima Perang Pahang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah berkenan menziarahi keluarga anggota tentera mendiang Truper K Indiran di Taman Sri Nibong di sini.  Ketibaan Tengku Ahmad di kediaman keluarga mendiang pada 12.55 tengah hari disambut Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga anggota tentera itu. Tengku Ahmad meluangkan masa menyantuni waris mendiang serta menzahirkan ucapan takziah atas kehilangan seorang perwira muda yang sedang dalam usaha meningkatkan kemahiran diri demi kedaulatan negara. Ibu mendiang, S Usha, 52, berkata kesediaan Tengku Ahmad berkenan menziarahi ke kediaman mereka sedikit sebanyak memberi kekuatan dan semangat kepada keluarga dalam menghadapi kehilangan tersebut. “Dengan keberangkatan Tengku Ahmad ke rumah kami pun sudah membuatkan saya rasa lega dan bersemangat sedikit. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Mendiang yang berusia 22 tahun itu sedang mengikuti kursus kru Armor di Kem Batu 10 Kuantan, Pahang ketika ditemukan tidak sedarkan diri pada 18 Feb sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan.  Sementara itu, mayat mendiang Indiran dibawa ke Tanah Perkuburan India Batu Lanchang di sini kira-kira 4.15 petang sambil diiringi ahli keluarga.  Majlis pengebumian berlangsung mengikut istiadat tentera dengan mendiang dikebumikan bersebelahan pusara bapanya Mejar C Kayamboo, iaitu juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam nahas pesawat TUDM jenis Beechcraft B200T.   Istiadat pengebumian tentera diketuai Pegawai Memerintah Rejimen Pertama Kor Armor Diraja Kuantan Lt Kol Nazrol Abdullah bersama 12 pegawai dan 50 anggota dengan sembilan anggota membawa keranda mendiang Indiran.  Selesai upacara pengebumian, Nazrol menyerahkan Jalur Gemilang kepada ibu mendiang Indiran yang beberapa kali menahan sebak. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035