Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Kisah Truper Indiran inspirasi semangat patriotisme rentas kaum
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :23/02/2026 | 18:30 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Ketika kanak-kanak seusianya leka bermain, mendiang Truper K. Indiran sejak kecil sudah menanam azam untuk menyarung uniform Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti bapanya. Namun, takdir menentukan sebaliknya apabila insan yang menjadi sumber inspirasinya itu pergi terlebih dahulu. Mendiang menyertai ATM meskipun bapanya mendiang Lt Kol C. Kayamboo terkorban ketika berkhidmat pada 2016 dalam nahas udara berhampiran Pangkalan Udara Butterworth. Kisah itu disifatkan sebagai lambang semangat luar biasa yang mampu menjadi inspirasi, khususnya dalam kalangan kaum minoriti di negara ini. Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Datuk Sharuddin Omar berkata kehilangan Kayamboo kira-kira sedekad lepas tidak pernah melemahkan semangat Indiran, walaupun ketika itu beliau masih berusia sekitar 12 tahun. Sebaliknya, tragedi berkenaan menjadi pemangkin untuk meneruskan legasi perjuangan bapanya dalam mempertahankan kedaulatan negara. “Indiran menjadikan tragedi kematian bapanya sebagai sumber kekuatan untuk berkhidmat kepada negara. Kehilangan itu tidak dilihat sebagai perkara negatif, sebaliknya menyemarakkan lagi azamnya untuk menyambung perjuangan,” katanya kepada Bernama. Menurut Sharuddin, kisah berkenaan wajar dijadikan contoh terbaik bahawa tragedi mampu membentuk jati diri serta menyemai semangat mempertahankan bangsa dan negara tanpa mengira kaum. Beliau berkata cerita pengorbanan seperti itu tidak seharusnya hanya dikenang sebagai episod duka, sebaliknya perlu dikongsikan kepada generasi muda sebagai bukti bahawa kesedihan dan kehilangan boleh diterjemahkan kepada semangat perjuangan tanpa mengira bangsa. Mengulas penglibatan bukan Melayu dalam ATM, beliau berkata sejarah membuktikan penyertaan kaum India dan Cina amat signifikan, terutama ketika era darurat pertama dan kedua antara 1968 hingga 1989. Malah, ramai dalam kalangan mereka terkorban demi mempertahankan kedaulatan negara tanpa mengira latar belakang bangsa. Bagaimanapun, katanya perkembangan pesat sektor industri dan ekonomi selepas 1989 menyaksikan penglibatan bukan Melayu dalam perkhidmatan ketenteraan semakin berkurangan apabila ramai memilih bidang yang menawarkan pulangan lebih lumayan. Sehubungan itu, beliau berpandangan kisah Indiran perlu dilihat sebagai simbol bahawa tanggungjawab mempertahankan negara bukan milik satu bangsa sahaja, sebaliknya amanah bersama seluruh rakyat Malaysia. Menyentuh aspek kebajikan keluarga, Sharuddin berkata sistem kebajikan ATM kini jauh lebih baik berbanding sebelum ini, termasuk pengiktirafan kenaikan pangkat anumerta seperti yang diterima Kayamboo, sekali gus memberi kesan kepada kadar pencen keluarga. Menurutnya Indiran juga layak menerima faedah yang diperuntukkan kepada anggota yang meninggal dunia dalam perkhidmatan, termasuk ganjaran perkhidmatan dan manfaat insurans kelompok Koperasi Tentera. Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang serta menyifatkan kehilangan dua generasi dalam sebuah keluarga yang berkhidmat kepada negara sebagai satu pengorbanan besar yang wajar dikenang. Semalam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan pengorbanan keluarga mendiang Indiran sebagai tidak ternilai, apabila ibunya S. Usha sekali lagi diuji dengan kehilangan insan tersayang yang mengabdikan khidmat kepada negara. “Pengorbanan sebuah keluarga yang menyerahkan bukan seorang tetapi dua insan tersayang kepada tanah air adalah  satu pengorbanan yang tidak akan dapat dibalas mahupun dibandingkan dengan apa jua cara sekalipun,” katanya. Pada 18 Feb lepas, Indiran, 22, yang sedang mengikuti kursus di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja Kem Batu 10 Kuantan, Pahang ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan. Tiada unsur penderaan atau buli dikesan dalam kematian anggota tentera berkenaan.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035