Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Pembinaan rumah ibadat wajib patuhi undang-undang, peraturan - Sultan Pahang Bernama Bernama
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :25/02/2026 | 11:10 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan, pembinaan rumah ibadat di negeri itu wajib mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan bagi menjamin keharmonian masyarakat majmuk. Al-Sultan Abdullah bertitah, pembinaan rumah ibadat tanpa melalui saluran sah bukan sahaja melanggar peraturan malah berpotensi mencetuskan salah faham serta ketegangan antara kaum dan agama. "Undang-undang bukan menyekat atau menindas tetapi untuk menyelaraskan serta menjamin keadilan dan keharmonian bersama-sama" titah baginda yang dimuat naik di Portal Rasmi Kesultanan Pahang hari ini. Menurut hantaran itu, Sultan Pahang bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Masjid Tengku Amir Ibrahim Sultan Abdullah di Taman Bukit Bendera, di Temerloh, semalam. Selain itu, baginda bertitah, tindakan mana-mana pihak yang tidak mengikut peraturan dan undang-undang boleh menyebabkan kekeliruan serta perbalahan dalam masyarakat. "Ibarat membina rumah tanpa pelan, akhirnya akan roboh menyembah bumi," titah baginda. Baginda menegaskan, negeri itu memerlukan ketertiban dan kepatuhan kepada peraturan, bukannya tindakan terburu-buru yang boleh mengundang sengketa. Al-Sultan Abdullah menyeru pihak berkuasa dan pihak berkuasa tempatan melalui jawatankuasa rumah ibadat bukan Islam, Jabatan Agama Islam serta pemimpin komuniti untuk berganding bahu memperjelaskan prosedur dan memberi bimbingan sewajarnya kepada masyarakat. "Dalam masa sama, rakyat turut diingatkan bersikap matang dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan demi memelihara perpaduan negeri," titah baginda. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035