|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SHAH ALAM – "Ayuh rawat luka sensitiviti agama tanpa memecahbelahkan negara."
Demikian saranan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan bagi mengajak semua pihak supaya bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung insiden seorang mahasiswa didakwa memijak al-Quran.
Mengakui perbuatan menghina kitab suci umat Islam adalah salah dan perlu ditangani secara tegas mengikut lunas undang-undang, beliau turut merayu agar reaksi masyarakat tidak seharusnya dipandu emosi sehingga mencetuskan perpecahan kaum.
"Al-Quran bukan sekadar sebuah kitab, sebaliknya merupakan petunjuk suci bagi jutaan umat Islam.
"Sebarang tindakan yang dilihat sebagai tidak menghormatinya sudah tentu melukakan hati dan mencetuskan kemarahan umum.
"Namun saya percaya Islam menjunjung prinsip keadilan. Justeru, siasatan perlu dibuat secara profesional, berasaskan fakta dan bukti bukan melalui reaksi melulu atau hukuman kolektif,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Selasa, seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuantan atas pertuduhan mencemarkan Al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial bulan lepas.
Bagaimanapun, tertuduh S Vikneswaran, 21, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad dan minta dibicarakan.
Mengulas lanjut, Dr Sathia yang juga seorang pengamal perubatan berkata, pendekatan mengurus krisis sosial tidak jauh bezanya dengan merawat luka.
Menurutnya, apabila luka masih baharu, langkah pertama adalah dengan menilai keadaan, menstabilkan situasi dan mencegah kerosakan lanjut.
"Jika tidak diurus dengan baik, ia boleh dijangkiti dan menjadi lebih parah.
"Begitu juga dalam masyarakat. Kebencian yang tidak dikawal boleh merebak pantas, apatah lagi dengan pengaruh media sosial yang mempercepatkan penyebaran naratif sebelum siasatan selesai,” ujarnya.
Mengulas laporan bahawa pemuda berkenaan dikatakan seorang mualaf dan keluarganya tidak dimaklumkan mengenai pengislamannya, beliau berpandangan perkara itu wajar diteliti secara mendalam.
"Namun apa pun latar belakangnya, sebarang kesalahan hendaklah dipertanggungjawabkan secara individu.
"Kita tidak boleh menghukum keseluruhan kaum atau agama atas tindakan seorang individu,” tegasnya.
Justeru, Dr Sathia menyeru rakyat Malaysia agar terus memelihara keharmonian negara yang berbilang kaum dan agama.
"Keharmonian tidak berlaku secara automatik, sebaliknya perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab.
"Dalam situasi seperti ini, kita tidak membuktikan keimanan melalui kemarahan, tetapi melalui akhlak dan kebijaksanaan,” katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |