|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan kesal terhadap insiden yang dilihat sengaja mengganggu-gugat keharmonian negara dan negeri ini.
Baginda bertitah, ia termasuk isu terkini melibatkan seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang didakwa telah memijak senaskah al-Quran.
Titah baginda, perbuatan itu bukan sahaja satu tindakan sangat biadab, malah satu penghinaan menggores hati umat Islam dan menggugat keharmonian masyarakat yang dibina atas asas saling menghormati.
"Apabila al-Quran dipijak, maka yang tercalar bukan sekadar kertasnya tetapi kesucian wahyu dan maruah umat Islam.
"Dalam hal ini, saya menegaskan, apabila al-Quran dipijak diam bukanlah satu pilihan. Diam dalam keadaan agama dihina adalah tanda lemahnya jiwa dan pudar maruah," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian masjid baharu Felda Jengka 19 yang dimasyhurkan dengan nama Masjid Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, di Jengka 19 pada Selasa.
Al-Sultan Abdullah turut mengulangi ungkapan tokoh ulama, Buya Hamka, “Jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan”.
Baginda menjelaskan, ungkapan itu bukan seruan kepada keganasan, sebaliknya peringatan bahawa mempertahankan maruah agama adalah kewajipan moral dan tanggungjawab iman.
"Namun, mempertahankannya hendaklah dengan hikmah, adab dan berpandukan undang-undang.
"Islam menuntut ketegasan tetapi dalam lingkungan keadilan semua pihak tidak boleh membiarkan penghinaan berlaku.
"Namun kita juga tidak boleh membalas dengan tindakan yang meruntuhkan keamanan. 'Menang jadi arang, kalah jadi abu', jika emosi menguasai akal, semua pihak akan rugi," titah baginda.
Sebagai ketua dan pelindung agama Islam negeri ini, baginda menegaskan sebarang penghinaan terhadap Islam wajib ditangani secara tegas tanpa kompromi menurut lunas undang-undang.
"Kebebasan bersuara bukan alasan untuk menghina agama. Biar mati anak, jangan mati adat, dan adat paling utama di negeri ini ialah menghormati agama sebagai tunjang kehidupan," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menegaskan mempertahankan kesucian Islam tidak bererti menafikan hak dan penghormatan terhadap agama-agama lain.
Titah baginda, negeri dibina atas semangat hidup bersama dalam kepelbagaian dan Islam sebagai agama Persekutuan dan Pahang dengan menjunjung prinsip keadilan serta rahmah.
"Kita mempertahankan agama kita dengan tegas, dalam masa sama menghormati penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka dengan aman.
"Sesungguhnya peristiwa ini mesti menjadi cerminan muhasabah. Jangan kita terlalu ghairah mengejar kemajuan dunia sehingga alpa memelihara jiwa.
"Negeri boleh maju dengan teknologi tetapi ia hanya akan bermaruah jika akhlaknya terpelihara," titah baginda.
Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat kembali kepada al-Quran dan membaca, memahami makna serta mengamalkannya dalam kehidupan.
"Jadikan ia cahaya dalam kegelapan zaman dan benteng menghadapi fitnah akhir zaman.
"Semoga ALLAH SWT memelihara negeri ini daripada perpecahan dan kehinaan. Kukuhkanlah iman kita, satukan hati kita, dan tetapkan langkah kita dalam mempertahankan agama dengan hikmah serta ketegasan, insya-ALLAH," titah baginda. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |