Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Nik Amirulmumin Nik Min
Title :Sultan Pahang seru rakyat jadikan al-Quran panduan hidup, jauhi rasuah
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :08 Mac 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru umat Islam khususnya rakyat negeri ini supaya menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan dan menjauhi rasuah serta penyalahgunaan kuasa. Titah baginda, sekiranya nilai-nilai al-Quran dihayati, akan lahir sebuah pentadbiran yang bersih, berintegriti dan adil sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri terus terpelihara. Baginda turut mengingatkan bahawa rasuah dan penyalahgunaan kuasa merupakan antara penyakit besar yang mampu meruntuhkan bangsa dan negara jika tidak dibendung. "Setiap jawatan yang dipegang merupakan amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. "Ingatlah bahawa amanah adalah kemuliaan, manakala pengkhianatan terhadap amanah adalah kehinaan; bukan sahaja di sisi manusia, bahkan lebih berat lagi di sisi ALLAH SWT,” titah baginda melalui hantaran di Facebook Kesultanan Pahang. Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul al-Quran, bacaan Yasin dan tahlil Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah di Masjid Pulau Serai, Pekan pada Sabtu. Sempena majlis itu, baginda turut berkenan memasyhurkan Masjid Pulau Serai dengan nama Masjid Tengku Hajah Aisyah Mandak. Titah baginda lagi, kerajaan negeri sentiasa memperkukuh kedudukan al-Quran sebagai asas pembinaan masyarakat yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia. “Antara usaha yang giat dilaksanakan dengan menggalakkan penubuhan serta pembangunan pusat-pusat tahfiz di seluruh negeri bagi melahirkan lebih ramai generasi penghafaz al-Quran yang bukan sahaja menguasai hafazan, bahkan memahami serta menghayati ajaran yang terkandung di dalamnya. "Sementara itu, institusi tahfiz memainkan peranan penting dalam membentuk generasi dekat dengan al-Quran sekali gus menjadi benteng moral dan rohani kepada masyarakat," titah baginda. Menurut Al-Sultan Abdullah, anak-anak yang dididik dengan al-Quran sejak usia muda akan membesar sebagai insan yang berdisiplin serta berakhlak mulia.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035