Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Nik Amirulmumin Nik Min
Title :Sultan Pahang berkenan isytihar UniPSAS sebagai Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :07 Mac 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN- Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan penjenamaan semula Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dengan nama baharu iaitu Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS). Pengumuman bersejarah berlangsung di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, di sini sempena malam Nuzul al-Quran itu sekali gus menjadikannya universiti al-Quran yang pertama di negara ini. Pemilihan tarikh istimewa bagi umat Islam itu membawa makna yang amat signifikan kerana selari dengan aspirasi universiti untuk menjadikan al-Quran sebagai teras pembangunan ilmu dan pembinaan tamadun. Pada majlis itu, baginda berkenan menerima warkah perisytiharan nama UnIPSAS kepada UNIQSAAS daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebelum berkenan menyerahkan warkah berkenaan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai simbolik pengisytiharan rasmi universiti tersebut. Pengisytiharan turut disaksikan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Naib Canselor UNIQSAAS, Profesor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata, pengisytiharan itu melambangkan satu lagi pencapaian penting dalam perkembangan institusi pendidikan tinggi di negeri Pahang sekali gus memperkukuh komitmen kerajaan negeri dalam memartabatkan pendidikan yang berteraskan al-Quran sebagai asas pembinaan generasi masa depan. Menurutnya, penjenamaan semula universiti itu bukan sekadar perubahan nama malah mencerminkan suatu transformasi menyeluruh dalam hala tuju universiti. "Lebih istimewa lagi peristiwa bersejarah ini berlaku sempena sambutan 30 tahun penubuhan institusi ini sejak 1996. "UNIQSAAS membawa aspirasi “Hudan Linnas”, iaitu menjadikan al-Quran sebagai teras utama dalam semua bidang ilmu dan pembangunan insan. "Aspirasi ini bertujuan mengangkat martabat al-Quran bukan sahaja sebagai kitab ibadah, bahkan sebagai sumber panduan ilmu yang menyeluruh meliputi aspek akidah, syariah, akhlak, kemasyarakatan, kepimpinan dan pembangunan tamadun," katanya melalui kenyataan di sini. Mohd Zawavi berkata, menjadikan al-Quran sebagai asas panduan akademik dan nilai, UNIQSAAS berusaha melahirkan generasi ilmuwan dan pemimpin yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang kepakaran masing-masing, malah berpandukan wahyu dalam pemikiran, tindakan dan etika. "UNIQSAAS akan mengintegrasikan pengajian al-Quran dalam 40 program pengajian yang merangkumi peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana hingga Doktor Falsafah (PhD)," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035