Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :KPT perinci konsortium penyelidikan Malaysia-Indonesia, perkukuh kerjasama akademik serantau
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :04/03/2026 | 04:15 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memperincikan usaha menubuhkan konsortium penyelidikan antara Malaysia dan Indonesia sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama akademik di peringkat serantau. Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata cadangan itu merupakan hasil lawatan kerja rasmi beliau ke negara jiran itu bulan lepas yang bakal melibatkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang kritikal. “Kita telah mula membincangkan satu konsortium penyelidikan Malaysia-Indonesia yang dapat dikembangkan melalui IPTA yang mempunyai bidang tujahan seperti sekuriti makanan, ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa, kecerdasan buatan, semikonduktor dan dron,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPT di Dewan Negara semalam. Beliau berkata di peringkat KPT, pihaknya turut mengadakan usaha sama melalui mesyuarat tahunan dengan beberapa negara terpilih antaranya kerjasama bersama Turkiye yang diadakan setiap tahun, manakala terbaharu China turut bersetuju mengadakan mesyuarat tahunan antara kedua-dua kementerian bagi meneroka peluang kerjasama dalam bentuk konsortium seperti yang dinyatakan. Dalam perkembangan lain, Zambry memaklumkan Politeknik Balik Pulau di Pulau Pinang dan Politeknik Sultanah Bahiyah di Kulim, Kedah diarahkan menjalani proses penjenamaan semula fungsi bagi menumpukan kepada bidang semikonduktor. Beliau berkata langkah itu bertujuan menyokong ekosistem teknologi tinggi sedia ada, termasuk makmal penyelidikan semikonduktor termaju di Universiti Sains Malaysia (USM) yang berasaskan Intel 18A. “Makmal di USM ini merupakan satu-satunya program yang dibenarkan beroperasi di luar ibu pejabat Intel di Amerika Syarikat, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi syarikat gergasi itu terhadap sistem pendidikan tinggi negara,” katanya. Zambry berkata penjenamaan semula fungsi itu juga bagi memastikan kurikulum di kedua-dua politeknik tersebut selari dengan keperluan ekologi industri semikonduktor yang berkembang pesat di wilayah utara. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035