Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Astro Awani
Title :Sultan Pahang seru usahawan PKS rebut peluang dapatkan sijil halal
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :12/03/2026 | 11:20 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya merebut peluang mendapatkan pensijilan halal bagi memperkukuh keyakinan pengguna serta memperluas pasaran perniagaan. Baginda bertitah, pensijilan halal bukanlah satu beban, sebaliknya langkah itu ialah pelaburan jangka panjang yang menjamin kualiti, integriti serta membuka peluang pasaran lebih luas pada peringkat nasional dan antarabangsa.  “Inisiatif mempercepat proses kelulusan pensijilan halal yang kini dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira 30 hari berbanding 90 hari sebelum ini merupakan langkah positif dalam memudahkan permohonan serta memperkasakan industri halal di negeri ini,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, semalam.  Menurut hantaran itu, baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat memasyhurkan Masjid Kampung Simpang Tebing Tinggi sebagai Masjid Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Kampung Simpang Tebing Tinggi, Jerantut. Sultan Pahang bertitah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sentiasa bersedia memberikan bimbingan kepada para peniaga yang ingin mendapatkan pensijilan halal. Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, umat Islam perlu sentiasa memelihara batas halal dan haram dalam setiap urusan kehidupan bagi memastikan keberkatan serta kesejahteraan masyarakat. Baginda menegaskan, konsep halal bukan sekadar melibatkan makanan, malah telah menjadi satu ekosistem kehidupan yang merangkumi pelbagai sektor termasuk perniagaan, kewangan, perubatan, logistik serta gaya hidup manusia secara keseluruhannya. “Halal bukan hanya soal logo atau cap pada sesuatu produk. Halal itu ialah soal amanah, integriti dan keberkatan hidup,” titah baginda. Sementara itu, Sultan Pahang turut menyeru peniaga, pengilang, pengusaha restoran serta semua pihak dalam rantaian industri halal supaya memelihara amanah berkenaan dengan penuh tanggungjawab serta tidak mempermainkan sensitiviti umat Islam. Baginda berharap pihak berkuasa berkaitan terus memperkukuh penguatkuasaan terhadap sebarang pelanggaran dalam sistem pensijilan halal serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memanipulasi sistem demi kepentingan diri. Dalam hantaran lain, Al-Sultan Abdullah turut menasihati wanita di negeri ini agar tidak terburu-buru membuat keputusan untuk berkahwin, khususnya melibatkan pasangan warganegara asing. Baginda bertitah, sejak kebelakangan ini, terdapat kecenderungan peningkatan perkahwinan antara wanita tempatan dengan warganegara asing. Menurut baginda, perkara itu bukanlah suatu kesalahan selagi dilaksanakan mengikut lunas syarak serta mematuhi undang-undang, selain Islam tidak menutup pintu perkahwinan merentasi bangsa dan sempadan selagi ia dibina atas asas iman, kejujuran dan tanggungjawab. Sultan Pahang turut mengingatkan bahawa kesilapan dalam memilih pasangan boleh membawa kesan berpanjangan dalam kehidupan rumah tangga dan para wanita perlu membuat penelitian terhadap asal-usul, latar belakang, pekerjaan serta kemampuan sebenar bakal pasangan sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Al-Sultan Abdullah bertitah, keluarga harus menjadi benteng nasihat dan bimbingan kepada anak-anak kerana keputusan besar seperti perkahwinan memerlukan pertimbangan yang matang. “Sesungguhnya perkahwinan sepatutnya menjadi pintu kebahagiaan dan bukan jalan kepada kesusahan. Pilihlah pasangan hidup dengan akal yang waras dan iman yang teguh agar rumah tangga yang dibina membawa ketenangan dan keberkatan,” titah baginda. -- BERNAMA   
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035