Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :KPDN siasat 87 syarikat didakwa kartel umrah - Fuziah
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :17/03/2026 | 14:30 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Fuziah Salleh berkata sebanyak 87 syarikat pengendali umrah sedang disiasat berhubung dakwaan wujudnya kartel umrah. Beliau berkata siasatan itu dijalankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana terdapat beberapa syarikat yang membuat perjanjian penetapan harga bagi penyediaan perkhidmatan perjalanan umrah di Malaysia.  “Apabila mereka menetapkan harga, pengguna ini tidak dapat tawaran yang terbaik. Sebab itu MyCC berperanan membanteras aktiviti kartel ini,” katanya.  Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Program Jualan Rahmah MADANI Mega Aidilfitri 2026 dan Agihan Zakat Wakalah Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Perkarangan Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap Perdana di sini hari ini .  Beliau berkata orang ramai yang merancang untuk menunaikan umrah dinasihatkan agar mempertimbangkan aspek keselamatan semasa, terutama dalam keadaan konflik geopolitik yang sedang berlaku. “Dalam Islam, konsep isti ta’ah atau kemampuan perlu diambil kira. Jika keadaan tidak selamat, maka tidak menjadi kewajipan untuk menunaikan umrah. Keselamatan diri dan keluarga perlu diutamakan,” katanya. Sementara itu, Fuziah berkata kerajaan sedang meneliti langkah merapatkan jurang ketirisan bahan api bersubsidi dan komersial. Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, semalam. “Kita mengakui terdapat jurang ketara antara harga RON95 dan RON97. Perbezaan ini membuka ruang kepada ketirisan apabila pihak yang sepatutnya membeli pada harga komersial turut mendapatkan bekalan bersubsidi,” katanya. Beliau berkata kerajaan akan terus mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter sebagai keutamaan demi kesejahteraan rakyat. Bercakap mengenai program hari ini, Fuziah berkata sebanyak 133 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM)  Mega Aidilfitri telah dilaksanakan di seluruh Pahang sepanjang Ramadan tahun ini. Beliau berkata 45 lagi program itu dijadualkan berlangsung hingga 30 Mac ini, untuk memastikan lebih ramai rakyat berpeluang mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan menjelang sambutan Aidilfitri. -- BERNAMA   
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035