|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| JERANTUT - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan seluruh umat Islam agar sentiasa memelihara batas halal dan haram dalam setiap urusan kehidupan.
Baginda menegaskan, pematuhan terhadap hukum syarak tersebut adalah kunci utama bagi menjamin keberkatan serta kesejahteraan masyarakat.
Titah Al-Sultan Abdullah, sebagai umat Islam yang menjunjung tinggi kesucian agama, setiap individu bertanggungjawab memastikan urusan harian dipandu oleh perkara yang halal serta menjauhi perkara yang meragukan atau syubhah.
"Janganlah kita alpa bahawa halal itu pada hakikatnya adalah perintah agama, bukan sekadar jenama pasaran. Halal bukan hanya soal logo atau cap pada sesuatu produk, tetapi ia adalah soal amanah, integriti dan keberkatan hidup.
Jika sesuatu yang masuk ke dalam tubuh manusia itu bersumberkan perkara yang meragukan, maka ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan jasmani, bahkan boleh menggelapkan hati dan merosakkan jiwa,” titah baginda dalam satu hantaran di laman sosial Facebook Kesultanan Pahang pada malam Rabu.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat memasyhurkan Masjid Kampung Simpang Tebing Tinggi sebagai Masjid Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Kampung Simpang Tebing Tinggi di sini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, perkara yang halal bukan sahaja membawa keberkatan, malah memberikan ketenangan jiwa.
Tegas baginda, menjauhi perkara syubhah menjadi benteng yang menjaga kesucian iman serta memelihara maruah agama.
"Dalam dunia yang semakin pesat berubah, persoalan halal dan haram tidak lagi terbatas kepada isu pemakanan semata-mata, sebaliknya telah berkembang menjadi satu ekosistem kehidupan yang merangkumi pelbagai sektor termasuk perniagaan, kewangan, perubatan, logistik serta gaya hidup manusia secara keseluruhannya," titah baginda lagi.
Dalam titah sama, Al-Sultan Abdullah menyeru agar semua pihak termasuk para peniaga, pengilang, pengusaha restoran serta mana-mana pihak yang terlibat dalam rantaian industri halal supaya memelihara amanah tersebut dengan penuh tanggungjawab tanpa mempermainkan sensitiviti umat Islam dalam soal halal dan haram.
Baginda turut berharap pihak berkuasa berkaitan terus memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap sebarang pelanggaran sistem pensijilan halal dan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba memanipulasinya demi kepentingan diri.
“Sesungguhnya, menjaga halal dan haram bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa semata-mata, tetapi merupakan tanggungjawab bersama seluruh umat Islam.
"Jika umat Islam sendiri tidak mengambil berat soal halal dan haram dalam kehidupan mereka, maka sedikit demi sedikit kita akan kehilangan benteng yang selama ini menjadi asas kekuatan masyarakat Islam.
“Jika perkara halal dijaga, maka masyarakat akan hidup dalam keberkatan. Namun, jika perkara halal dipermainkan, maka kerosakan akan meresap sedikit demi sedikit dalam kehidupan kita.
"‘Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi maka robohlah rumah. Begitulah juga masyarakat, jika sendi halal dan haram tidak lagi dipelihara, maka runtuhlah asas kehidupan yang diberkati’,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menyeru para usahawan khususnya perusahaan kecil dan sederhana supaya merebut peluang mendapatkan pensijilan halal bagi memperkukuhkan keyakinan pengguna serta memperluaskan pasaran perniagaan.
Titah baginda, inisiatif mempercepatkan proses kelulusan pensijilan halal yang kini hanya mengambil masa sekitar 30 hari berbanding 90 hari sebelum ini.
Tegas baginda, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sentiasa bersedia memberikan bimbingan kepada para peniaga yang ingin mendapatkan pensijilan halal.
"Pensijilan halal bukanlah satu beban, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang yang menjamin kualiti, integriti serta membuka peluang pasaran lebih luas di peringkat nasional dan antarabangsa," titah baginda. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |