|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA NERUS – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan kelonggaran kepada pengurusan universiti di seluruh negara untuk menentukan kaedah pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang bersesuaian dengan situasi semasa di kampus masing-masing.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pendekatan tersebut diambil memandangkan keadaan persekitaran di setiap institusi adalah berbeza, khususnya melibatkan negeri-negeri di Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan.
Menurut beliau, pihak universiti mempunyai kuasa untuk mengambil langkah perlu sekiranya keadaan dianggap berada dalam kategori bahaya, termasuklah dalam mendepani isu cuaca ekstrem.
"Pada dasarnya, dari segi membuat keputusan, kita tidak menghalang mana-mana universiti mengambil langkah perlu untuk mengatasi masalah seperti musim kemarau, banjir dan sebagainya.
"Pihak pengurusan universiti lebih mengetahui keadaan di kampus mereka dan akan memaklumkan kepada kementerian mengenai tindakan yang diambil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Sembang Santai bersama mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Dewan Perdana UniSZA di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, setakat ini beliau difahamkan pihak universiti memilih pendekatan yang lebih anjal, termasuk melaksanakan pengajian secara dalam talian.
Jelas beliau, langkah itu juga bagi memudahkan urusan pelajar sepanjang bulan puasa dan mengelakkan bebanan untuk berulang-alik ke kampung halaman dalam keadaan yang tidak menentu.
"Pihak universiti boleh melaksanakan kurikulum secara dalam talian sekiranya mereka merasakan ia perlu. Sebagai contoh, kita pernah melalui fasa ekstrem sewaktu musim Covid-19 dan juga ketika bencana banjir tahun lalu.
"Waktu itu, ada universiti yang membenarkan pelajar mengikuti kursus secara dalam talian sepenuhnya. Jadi, keputusan ini memang terpulang kepada budi bicara pihak universiti masing-masing," ujarnya lagi. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |