|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KOTA KINABALU - ‘Suara Mahasiswa UMS’ bukan entiti berdaftar di bawah Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan tidak mewakili suara rasmi institusi pengajian tinggi itu.
UMS dalam satu kenyataan pada Jumaat menjelaskan bahawa universiti itu mengambil maklum mengenai beberapa hantaran tular di media sosial oleh entiti yang menggunakan nama ‘Suara Mahasiswa UMS’, termasuk dakwaan berkaitan dengan perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Sebarang kenyataan atau komentar yang dikemukakan oleh pihak berkenaan tidak mewakili pendirian rasmi universiti.
“Dalam masa sama, UMS memandang serius penggunaan logo universiti oleh pihak tersebut tanpa kebenaran kerana ia merupakan satu tindakan tidak sah dan boleh mengelirukan khalayak awam,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar merujuk kepada saluran rasmi UMS bagi mendapatkan maklumat sahih serta mengelakkan sebarang kekeliruan.
Sebelum ini, entiti berkenaan dilaporkan mengeluarkan beberapa kenyataan media berhubung seorang lelaki dikenali sebagai ‘Niko’ yang didakwa ditahan polis kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Suara Mahasiswa UMS turut menyuarakan solidariti dan menuntut pembebasan individu tersebut yang didakwa merupakan pelajar sekolah alternatif dan ditahan ketika menghadiri program beraya bersama asnaf.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun menjelaskan bahawa tangkapan dibuat terhadap seorang lelaki tanpa kewarganegaraan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
“Memandangkan terdapat pihak mendakwa lelaki tersebut di bawah umur, kita telah mengambil tindakan lanjut termasuk membawanya ke Forensik Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi penentuan umur.
“Ini kerana berdasarkan rekod kad suntikan vaksin, individu berkenaan dianggarkan berusia 19 tahun.
“Sehubungan itu, beberapa tindakan telah diambil bagi melengkapkan siasatan dan selepas laporan diperoleh, kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |