Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Nik Amirulmumin Nik Min
Title :SPM 2025: 671 calon cemerlang semua A di Pahang
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :31 Mac 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN - Seramai 671 daripada 17,429 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Pahang berjaya memperoleh keputusan 'straight A' dalam semua mata pelajaran, dengan sembilan calon memperoleh semua A+. Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan seramai 76 calon berbanding 595 calon dengan keputusan semua A pada tahun sebelumnya. Menurutnya, 16,822 daripada 17,429 calon yang menduduki SPM 2025 layak memperoleh sijil berbanding 16,262 calon pada tahun lalu. "Bagi prestasi negeri, Gred Purata Negeri (GPN) menunjukkan peningkatan sebanyak 0.15 mata kepada 4.08 berbanding 4.23 pada tahun lalu. "Sebanyak 12 sekolah termasuk tiga sekolah harian disenaraikan mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik (sekurang-kurangnya 2.30), manakala enam daripadanya mencapai GPS kurang daripada 2.00 mata," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM bagi Negeri Pahang tahun 2025 di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Indera Mahkota, di sini pada Selasa. Ahmad Zamri berkata, sekolah terbabit terdiri daripada Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Basriyah, Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Maarif, Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS), Kuantan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan, Jerantut. Katanya, turut tersenarai Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (SEMESTA), Raub; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kuantan; SMK Abdul Rahman Taib (SMART); SMK Seri Tualang; SMA Persekutuan Bentong; SBPI Temerloh dan SMK Sultanah Hajjah Kalsom. "Daripada sembilan calon yang mendapat semua A+ dalam mata pelajaran yang diduduki, Muhammad Zulhelmi Shamsuri dari SMK Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan, Jerantut dinobatkan sebagai calon terbaik negeri Pahang dengan 11 A+. "Calon cemerlang lain terdiri daripada Lai Mei Yang (10A+) dan Shareen Tan Hui Shah (10A+) dari SMK Sultan Abu Bakar; Tengku Aidil Putra Tengku Shaful Hazlan (9A+), Amira Hanna Mohd Nizamuddin (9A+) dari SMART; Abdul Mukmin Abdullah dari SEMSAS (9A+); Mohamad Faiz Ahmad Zaidi dari SEMESTA (9A+); Irfan Daniel Sazrul dari SMK Abu Bakar, Temerloh (9A+) dan Nurul Syafiqah Kamaruddin dari Sekolah Menengah Teknik Kuantan (8A+)," katanya. Jelas beliau, daripada 118 Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) dalam kalangan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) yang menduduki peperiksaan tahun lalu, 16 calon mendapat keputusan cemerlang sekurang-kurangnya 5A. "Berdasarkan jumlah tersebut, 80 calon (90.91 peratus) layak sijil SPM berbanding 72 calon (85.71 peratus) pada tahun 2024," ujarnya. Dalam pada itu, Ahmad Zamri berkata, keseluruhannya seramai 643 calon dalam kalangan murid Orang Asli menduduki peperiksaan di sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada SPM 2025 di seluruh negeri Pahang. "Daripada jumlah tersebut, 614 calon layak sijil berbanding 580 calon pada tahun 2024. "Prestasi calon murid Orang Asli tetap membanggakan apabila 56 orang calon mendapat sekurang-kurangnya 5A- (A+/A/A-) berbanding 49 orang calon pada tahun 2024," katanya. Tambah beliau, tiga calon murid Orang Asli yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM tahun 2025 dengan Gred Purata Calon (GPC) sekurang-kurangnya 1.25 mata ialah Rania Rahim dari SMK Rompin, Rompin (5A+ 4A / GPC: 0.44), Asniza a/p Asmawi dari SMK Seri Bera, Bera (3A+ 6A 2A / GPC: 1.11) dan Tueshisel Tiara Mohd Daniel Harman dari SMK Keratong, Rompin (3A+ 4A 1C+ / GPC: 1.12). Sementara itu, katanya, seramai 1,153 calon telah menduduki peperiksaan SPM 2025 bagi Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) melibatkan 18 pusat peperiksaan di negeri ini. "Nilai GPN tahun 2025 adalah 3.57 mata dan seramai 1,150 calon (99.74 peratus) layak sijil, manakala 62 calon mendapat keputusan cemerlang sekurang-kurangnya A- dalam semua mata pelajaran. Jelas beliau lagi, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) tajaan Yayasan Pahang (YP) meneruskan pencapaian cemerlang dalam SPM 2025 apabila 70 calon telah menduduki peperiksaan dengan 100 peratus kehadiran. Katanya, 40 calon memperoleh keputusan semua A dalam mata pelajaran dan semua calon layak sijil dengan GPS 1.06 mata. "Sementara itu, Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang juga merupakan institusi di bawah tajaan Yayasan Pahang yang kali pertama membuka pusat peperiksaan tahun lalu dengan 48 calon menduduki peperiksaan. "Daripada jumlah itu, 25 calon memperoleh keputusan semua A dalam mata pelajaran dan 100 peratus calon layak sijil. "Pada tahun 2025, Maahad Tahfiz Turath ini memperoleh GPS 0.60 mata. "Selain menunjukkan prestasi cemerlang, mereka juga dilatih untuk menghafal 30 juzuk al-Quran dan aktif dalam bidang kokurikulum seiring dengan pembentukan modal insan seimbang duniawi dan ukhrawi," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035