Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Mohd Azlim Zainury
Title :UniKL edar 60,000 bubur lambuk sempena 60 tahun MARA
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :12 Mac 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
SEPANG - Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menyediakan dan mengedarkan sebanyak 60,000 bekas bubur lambuk kepada warga kampus serta masyarakat setempat bersempena program Mega Bubur Lambuk dan Iftar UniKL tahun ini. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Profesor Ir Dr Azman Senin berkata, pengagihan itu melibatkan mahasiswa dan kakitangan UniKL selain komuniti sekitar. Menurutnya, jumlah 60,000 bekas bubur lambuk itu juga melambangkan sambutan ulang tahun ke-60 Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang diraikan pada 1 Mac lalu. “Dengan makna 60,000 bubur lambuk ini, kita meraikan 60 tahun MARA yang telah memberi impak besar dalam sistem pendidikan tinggi negara,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Mega Bubur Lambuk dan Iftar UniKL bersama Sinar Harian serta Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Selangor bertemakan ‘Malam Seribu Keberkatan’ di Hangar UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT). Hadir sama, Pengurus Besar Jualan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin. Mengulas lanjut Azman berkata, program berkenaan menjadi tradisi tahunan yang menghimpunkan warga UniKL dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan. Ujarnya, penganjuran tahun ini merupakan kali ketiga selepas edisi pertama diadakan pada 2024 di UniKL Malaysia France Institute (UniKL MFI). Program sama diteruskan pada 2025 di UniKL British Malaysian Institute (UniKL BMI). “Tahun ini kita berkumpul di UniKL MIAT dan memberikan pengalaman baharu kepada semua yang hadir kerana majlis iftar diadakan di dalam hangar dengan latar belakang kapal terbang dan helikopter,” ujarnya. Beliau berkata, program itu turut mendapat sokongan pelbagai rakan strategik termasuk Sinar Harian dan Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Selangor. Selain itu, ia turut mendapat kerjasama Mahsuri Food Sdn Bhd, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) serta UniKL Resources Sdn Bhd (URSB). Menurutnya, sokongan daripada rakan strategik berkenaan membuktikan penganjuran program tersebut mendapat perhatian serta sokongan kerana manfaatnya kepada pembangunan dan kebajikan mahasiswa. “Saya percaya setiap sumbangan yang dihulurkan, sama ada besar atau kecil, akan menjadi amal jariah yang berpanjangan,” ujarnya. Azman berkata, kerjasama dengan Akademi Kenegaraan Malaysia turut memberi nilai tambah kepada pembangunan sahsiah mahasiswa. Menurutnya, selain pendidikan tinggi, semangat jati diri dan cintakan negara juga perlu dipupuk dalam kalangan mahasiswa. Mahasiswa antarabangsa memahami nilai Ramadan Pada masa sama, beliau berkata, penglibatan mahasiswa antarabangsa dalam program itu memberi peluang kepada mereka memahami nilai Ramadan dan budaya masyarakat Malaysia. Menurutnya, mahasiswa antarabangsa UniKL datang dari pelbagai negara termasuk negara Islam dan bukan Islam. “Dalam suasana seperti ini, mereka dapat melihat bagaimana ukhuwah rakyat Malaysia khususnya dalam ekosistem UniKL meraikan Ramadan bersama-sama,” ujarnya lagi. Azman berkata, UniKL akan terus memainkan peranan penting sebagai institusi pendidikan tinggi di bawah MARA. Menurutnya, universiti itu memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja strategik dalam pelbagai bidang termasuk aviasi, marin, rel dan tenaga boleh diperbaharui. Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan keperluan industri serta pembangunan ekonomi negara. Menurutnya, ketika ini kadar kebolehpasaran graduan UniKL adalah sebanyak 97.4 peratus. “Ia menandakan graduan kita diterima dengan baik oleh industri,” tambahnya. Platform perkukuh kefahaman kenegaraan Sementara itu, Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Pejabat Perdana Menteri (Negeri Selangor), Ahmad Shukri Adnan berkata, program Ramadan anjuran pihaknya bersama universiti tempatan bukan sekadar majlis berbuka puasa. Sebaliknya, katanya, ia turut menjadi platform untuk memperkukuh kefahaman kenegaraan serta nilai kesetiaan kepada negara dalam kalangan mahasiswa. Menurutnya, program itu diadakan melalui kerjasama antara Akademi Kenegaraan Malaysia, universiti serta pelbagai agensi lain. Beliau berkata, pihaknya juga menjalinkan kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi lain di Selangor bagi menjayakan program kenegaraan. Antaranya Universiti Islam Selangor, Universiti Al-Tajiborjaya, Management and Science University (MSU), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). “Bagi kami, golongan muda khususnya mahasiswa di kampus merupakan penggerak serta penyumbang masa hadapan negara,” ujarnya. Peluang mahasiswa berkumpul Dalam perkembangan sama, Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Kuala Lumpur (USRC) sesi 2026 turut menghimpunkan wakil daripada 12 kampus UniKL bagi menjayakan program berkenaan. Presiden USRC, Fadiah Zahra Zuhaimi berkata, setiap kampus menghantar wakil antara lima hingga 40 mahasiswa untuk memeriahkan program tersebut. Beliau berkata, bersempena sambutan 60 tahun MARA, setiap kampus turut mengambil inisiatif menyediakan kira-kira 5,000 pek bubur lambuk. Menurutnya, bubur lambuk berkenaan telah diagihkan kepada masyarakat berhampiran kampus masing-masing. Fadiah berkata, program itu memberi peluang kepada mahasiswa dari zon utara, selatan dan barat berkumpul serta menjalankan aktiviti bersama. Menurutnya, inisiatif berkenaan turut memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa. "Sepanjang program itu mahasiswa turut mempelajari nilai Ramadan seperti kesabaran, keikhlasan dan disiplin mengurus masa," ujarnya. Tambahnya, kerjasama antara mahasiswa, pengurusan universiti, staf dan pensyarah juga membantu mengasah kemahiran komunikasi serta kepimpinan dalam kalangan mahasiswa.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035