|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SEPANG – Penuntut Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) Dengkil di sini berpeluang mempelajari penyediaan menu piza dan martabak menerusi Program Riuh Rewang Pelajar Mahsuri pada Selasa.
Lebih menarik, dua hidangan disediakan itu turut dijadikan juadah berbuka puasa di institusi berkenaan.
Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, program itu adalah siri kedua selepas penganjuran pertama tahun lalu dengan beberapa penambahbaikan termasuk pengenalan menu baharu.
"Program ini memberi peluang kepada mereka bukan sahaja menikmati hidangan disediakan, malah mempelajari cara penyediaannya secara praktikal.
"Jika tahun lalu kita hanya memperkenalkan piza, tahun ini kita tambah menu martabak,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Jazri berkata, kedua-dua hidangan itu menggunakan produk sos Mahsuri antaranya tiga rasa, ala Korea dan lada hitam.
"Mereka bukan sekadar makan, sebaliknya turut bersama vendor belajar memasak secara beramai-ramai dan memahami bagaimana produk ini digunakan dalam masakan," jelas beliau.
Menurutnya, pemilihan menu piza dan martabak bertujuan menunjukkan produk keluaran Mahsuri bersifat serba guna serta boleh digunakan dalam pelbagai jenis masakan sama ada tempatan mahupun Barat.
Beberapa mahasiswa menyediakan martabak pada Program Rewang Mahsuri di UniKL MIAT pada Selasa.
Jelas beliau, program itu juga sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat sempena Ramadan dengan mengadakan sesi berbuka puasa bersama pelajar institusi pengajian tinggi.
"Ia antara kempen CSR terbesar yang kita jalankan di institusi pengajian tinggi tahun ini dan kita berharap dapat meneruskannya pada masa depan,” katanya.
Mohd Jazri berkata, pihaknya turut merancang memperluaskan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi serta kolej swasta khususnya dalam bidang kulinari bagi membangunkan lebih banyak program berkaitan makanan.
Sementara itu, pemilik Roadside Pizza, Siti Nur Ziana Md Sallehen, 29, berkata, penuntut turut mengambil peluang mempelajari proses penyediaan piza secara langsung.
Menurutnya, setiap piza hanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk disiapkan selepas dibakar dalam ketuhar khas.
Beliau berkata, keistimewaan piza yang dihasilkan adalah penggunaan produk Mahsuri yang memberikan rasa lebih pekat dan seimbang pada hidangan.
"Produk Mahsuri sesuai digunakan untuk piza selain mudah digabungkan dengan pelbagai bahan.
"Kita juga boleh mencampurkan beberapa perisa bagi menghasilkan rasa baharu pada piza,” katanya.
Menurutnya, antara menu dihasilkan pada program itu termasuk piza udang yang menggunakan gabungan beberapa sos keluaran Mahsuri.
"Tekstur piza yang dihasilkan juga lebih lembut kerana doh digunakan tidak menggunakan yis selain mampu mengekalkan kelembutan walaupun dipanaskan semula,” jelasnya.
Hasilkan hidangan sendiri
Seorang mahasiswa jurusan penyelenggaraan pesawat, Nurul Najihah Mohd Rasul, 20, berkata aktiviti rewang biasanya sinonim dengan masakan kampung, namun program itu memberi pengalaman baharu apabila berpeluang menyediakan piza sendiri.
Beliau berkata, walaupun pertama kali menyediakan piza, dia teruja kerana dapat menghasilkan hidangan sendiri.
"Penggunaan produk Mahsuri dalam penyediaan piza turut memberi rasa enak pada hidangan.
“Saya memang pengguna produk Mahsuri terutama kicapnya dan bagi saya rasanya sedap serta sesuai dengan selera,” katanya.
Menurut Muhammad Irfan Hakim Wan Sahabuddin, 18, walaupun hanya membantu meletakkan bahan sebelum piza dimasukkan ke dalam ketuhar, pengalaman itu tetap memberi pendedahan baharu kepadanya mengenai proses penyediaan makanan berkenaan.
“Walaupun saya belum sempat merasainya kerana masih berpuasa, tetapi melihat penggunaan sos dan bahan pada piza itu sudah nampak menyelerakan,” katanya.
Seorang lagi mahasiswa, Muhammad Shahid Imran Rahmat, 22, berkata, dia pada awalnya menyangka penyediaan martabak mudah, namun proses menebar doh sebenarnya memerlukan kemahiran dan latihan.
Menurutnya, dia terpaksa mencuba beberapa kali sebelum berjaya menebar doh dengan betul sepanjang aktiviti berkenaan.
"Ini pengalaman pertama saya buat martabak, kalau lihat tadi ada beberapa kali tidak menjadi, tetapi dari situ saya dapat belajar teknik yang betul,” katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |