|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN – Polis Pahang mengeluarkan 627 permit atau lesen menjual bunga api dan mercun kepada peniaga sempena musim perayaan Aidilfitri di negeri ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, setakat ini daripada 648 permohonan yang diterima, 19 ditolak atas pelbagai sebab manakala dua lagi masih dalam proses.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan mendapati empat kes tangkapan dan rampasan dilakukan melibatkan kesalahan melanggar peraturan termasuk berniaga mercun dan bunga api tanpa permit.
"Pihak polis sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan peniaga terlibat mematuhi peraturan yang ditetapkan dan hanya menjual mercun atau bunga api yang dibenarkan sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Peluncuran PDRM Tanjung Putra 188 (PTP 188) Fun Run & Fun Ride 2026 anjuran Polis Pahang di sini pada Selasa.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Yahaya berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada beberapa agensi termasuk laporan kimia bagi merumuskan hasil siasatan kes kematian tragis lima sekeluarga di Taman Cerating Damai pada 17 Februari lalu.
Beliau berkata, selain keluarga terdekat, pihak polis turut merakam keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan sebelum ini.
"Setakat ini kes tersebut masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
Berhubung PTP 188 Fun Run & Fun Ride 2026 yang dijadualkan pada 23 Mei depan di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1), Yahaya berkata, penganjuran program itu bersempena sambutan Hari Polis ke-219 selari dengan agenda Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, ia sebagai satu pendekatan santai untuk menghimpunkan warga PDRM dan orang awam melalui aktiviti sukan dan riadah.
"Pelbagai kategori menarik disediakan pada acara larian dan kayuhan santai itu dengan beberapa kategori dipertandingkan iaitu larian lima dan 10 kilometer (km) serta acara kayuhan 50 km.
"Orang ramai boleh melayari Facebook Polis Pahang untuk maklumat lanjut termasuk membuat pendaftaran bagi menyertai acara itu," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |