|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN - UMPSA Advanced dengan kerjasama Intellectours Sdn Bhd menganjurkan Program Cahaya Ramadan: Tazkirah dan Iftar Bersama Ustaz Kazim Elias yang berlangsung di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Program yang bertemakan, Tenang Dalam Kesibukan: Mencari Makna Hidup & Kerjaya itu diadakan sempena bulan Ramadan untuk memberi pengisian rohani kepada para peserta, di samping menggalakkan keseimbangan antara tuntutan kehidupan, kerjaya dan pembangunan spiritual.
Majlis berkenaan menampilkan penceramah terkenal, Ustaz Kazim Elias yang menyampaikan tazkirah Ramadan kepada para peserta yang terdiri daripada wakil organisasi, rakan strategik serta masyarakat setempat.
Pengurus Intellectours Sdn Bhd, Azwan Mahfudz berkata, penganjuran program tersebut merupakan salah satu usaha organisasi dalam menyediakan platform perkongsian ilmu dan pengukuhan nilai kerohanian dalam kalangan masyarakat.
“Dalam kehidupan moden yang serba pantas, individu berdepan dengan tekanan kerja serta komitmen harian yang tinggi. Program seperti ini diharap dapat menjadi ruang untuk peserta bermuhasabah dan mencari ketenangan di sebalik kesibukan hidup.
“Bertepatan dengan tema, kami berharap program ini dapat memberi inspirasi kepada para peserta untuk menilai semula keutamaan dalam kehidupan serta mencari keseimbangan antara kerjaya, kehidupan peribadi dan hubungan dengan Allah SWT,” katanya menerusi satu kenyataan.
Selain sesi tazkirah, program tersebut turut dimeriahkan dengan majlis berbuka puasa dan sesi cabutan bertuah sebagai tanda penghargaan kepada para hadirin yang hadir memeriahkan program berkenaan.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada para penaja yang telah memberikan sokongan dalam menjayakan program ini, antaranya Menara 188, Sri Manja Boutique Hotel, Majlis Belia Pahang, RHB Bank serta Society of Petroleum Engineers.
Program Cahaya Ramadan diharap dapat terus menjadi platform yang memberi manfaat kepada masyarakat melalui pengisian ilmu, pengukuhan ukhuwah serta penghayatan nilai-nilai murni sepanjang bulan Ramadan. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |