|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| ARAU: Kumpulan pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya membangunkan sistem pam solar bagi kegunaan pengairan kawasan sawah di Kampung Kersek, Mata Ayer, di sini.
Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE) UniMAP, Prof Madya Dr Shamsul Bahar Yaakob, berkata sebelum ini sebahagian besar pesawah di kawasan itu bergantung kepada penggunaan pam konvensional bagi mengairi petak sawah mereka.
Katanya, penggunaan pam konvesional memerlukan belanja besar kerana diesel diperlukan secara berterusan bagi mengepam air ke sawah terutamanya ketika musim kemarau.
"Dengan penggunaan tenaga matahari atau solar sebagai sumber utama, kos operasi harian dapat dikurangkan secara ketara. Ia bukan sahaja menyelamatkan poket petani, malah margin keuntungan hasil jualan tani mereka kini bertambah dan meningkat.
"Sistem ini juga menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon. Ia bukan sekadar pemasangan perkakasan, tetapi ke arah pembentukan ekosistem pertanian pintar yang lebih berdaya tahan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Shamsul berkata, projek berimpak tinggi itu direalisasikan melalui kolaborasi kepakaran teknikal UniMAP dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis selain sokongan teknikal Gansu Natural Energy Research Institute (GNERI).
Sementara itu, Ketua Projek Sistem Pam Solar UniMAP, Dr Muzaidi Othman@Marzuki berkata, sistem itu dibangunkan sebagai alternatif yang jauh lebih ekonomik dan lestari berbanding pam petrol.
"Dari segi teknikal, kita menggunakan susunan 16 panel solar berkapasiti sekitar 7.2 kilowatt (kW) bagi menjana elektrik untuk menggerakkan pam air tenggelam berkapasiti 3 kW.
"Sistem ini turut dilengkapi panel kawalan elektrik dan pemacu frekuensi boleh ubah bagi memastikan operasi pam lebih stabil dan cekap," katanya.
Bagi memastikan kelangsungan projek, pelajar dan penyelidik universiti turut turun padang melatih komuniti setempat mengendalikan sistem berkenaan agar teknologi hijau itu terus memberi manfaat berpanjangan kepada ekonomi desa serta sekuriti makanan negara. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |