|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| BACHOK: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan kesemua 1,936 pelajar Malaysia di enam negara di Asia Barat dilaporkan dalam keadaan selamat.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pihaknya sentiasa memantau perkembangan pelajar terbabit dari semasa ke semasa susulan ketegangan yang berlaku di negara berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Luar dan mendapatkan maklumat dengan Bahagian Pendidikan Malaysia di setiap negara terbabit.
"Setakat ini keseluruhan pelajar yang berdaftar di enam negara adalah seramai 1,936 orang. Ia meliputi 1,762 orang di Jordan, 135 di Arab Saudi, 21 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), sembilan di Kuwait, enam di Iran dan tiga di Qatar.
"Sehingga saat ini, laporan yang kita terima, kesemua masyarakat Malaysia, khususnya pelajar-pelajar kita berada dalam keadaan selamat.
"Apapun kita akan terus memantau dengan sebaiknya supaya keberadaan pelajar-pelajar kita di luar negara khususnya kawasan yang terbabit dengan konflik terjaga," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Iftar Mahabbah IPTA Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini hari ini.
Mengulas lanjut Zambry berkata, sehingga kini belum ada permintaan dalam kalangan pelajar Malaysia yang memohon untuk pulang ke Malaysia.
"Sebarang permohonan dan permintaan itu, pihak Pendidikan Malaysia di negara berkenaan akan memaklumkan kepada kami.
"Kita juga menasihatkan pelajar Malaysia yang tidak berdaftar supaya sentiasa berhubung dengan kedutaan bagi membolehkan kita mengetahui keadaan mereka dari semasa ke semasa," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |