Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :BERNAMA
Title :Kerajaan pantau situasi, pelajar Malaysia di Asia Barat selamat - Zambry
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :02 Mac 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
BACHOK: Semua 1,936 pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di rantau Timur Tengah dilaporkan selamat berikutan beberapa negara terjejas susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pihak kementerian dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri sentiasa memantau keadaan dari semasa ke semasa, dan setakat ini tiada pelajar dilaporkan terjejas. Beliau berkata berdasarkan rekod pendaftaran semasa, majoriti pelajar berada di Jordan, iaitu 1,762 orang, diikuti Arab Saudi (135), Emiriah Arab Bersatu (21), Kuwait (sembilan), Iran (enam) dan Qatar (tiga). "Sehingga kini, kita tidak mendapat sebarang laporan mengenai keadaan yang membimbangkan dan setakat ini juga, belum ada sebarang permintaan daripada pelajar untuk dibawa pulang ke tanah air. "Pihak Education Malaysia (EM) yang berpusat di Dubai dan Jordan sentiasa memantau seluruh negara-negara Arab ini dan melaporkan status keberadaan pelajar kita dengan sebaik-baiknya," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Iftar Mahabbah IPTA Kelantan@UMK 2026 di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok petang ini. Bagaimanapun, Zambry menggesa mana-mana pelajar Malaysia di negara Arab yang melanjutkan pengajian secara persendirian, dan belum mendaftar dengan pihak kedutaan atau EM supaya tampil berbuat demikian dengan segera. Beliau berkata, langkah itu disifatkan amat penting bagi memudahkan pihak kerajaan menyusun pelan tindakan menyelamat sekiranya keadaan bertambah kritikal.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035