|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| BACHOK: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengambil tindakan mengikut peruntukan universiti terhadap mahasiswa yang didakwa memijak al-Quran dan menghina Nabi Muhammad SAW.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kes berkenaan kini sudah menjadi kes polis dan pihaknya menunggu hasil siasatan yang dilakukan pihak berkuasa.
"Saya sudah arah pihak universiti mengambil langkah-langkah yang perlu selaras dengan peruntukan yang ada dalam universiti.
"Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana jika dibiarkan kes seumpama ini, ia akan menimbulkan konflik yang lebih mendalam," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Iftar Mahabbah IPTA Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry turut menegaskan pihaknya tidak berkompromi berhubung tindakan terhadap mahasiswa berkenaan.
"Pihak universiti juga mengambil langkah segera termasuk membuat laporan polis dan kini mahasiswa terbabit dalam siasatan polis.
"Jadi saya ingin mengingatkan kepada semua pihak termasuk mahasiswa terutama dalam konteks universiti, kita perlu menyuburkan semangat saling hormat menghormati di antara satu sama lain.
"Apabila tindakan menghina sesuatu agama itu, tentunya akan menimbulkan kemarahan yang melampau apatah lagi perbuatan memijak al-Quran oleh individu dari agama lain.
"Adalah malang apabila ada kes seperti ini dilakukan oleh seseorang, sama ada di kalangan pelajar mahupun di komuniti universiti," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, polis merujuk kertas siasatan membabitkan penuntut universiti awam yang memijak al-Quran dan hantaran menghina Nabi Muhammad SAW kepada Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam (KUJAKA).
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, dilaporkan berkata penuntut lelaki itu berkemungkinan dituduh sejurus reman tamat esok.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |