Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Roshlawaty MD Raieh
Title :Graduan lestari hasil sinergi KPT, institusi dan industri
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :06 April 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
Sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12), kadar kebolehpasaran graduan negara, kini dikenali sebagai kadar bekerja graduan terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan. Rekod menunjukkan trend positif sejak tahun 2021 apabila kadar bekerja graduan direkodkan 85.2 peratus, meningkat kepada 91.1 peratus pada 2022, sedikit menurun kepada 90.9 peratus pada 2023, sebelum melonjak semula pada tahun 2024 dengan kadar 92.5%. Bagi 2025, angka rasmi masih dalam proses dimuktamadkan. Perkembangan ini mencerminkan keupayaan graduan institusi pendidikan tinggi untuk menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran kerja semasa. Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Anesee Ibrahim, pencapaian ini bukanlah kebetulan, sebaliknya hasil kerjasama erat antara KPT dan keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi negara. “Hubungan rapat antara Kementerian, Universiti, Politeknik, Kolej Komuniti dan pihak industri memastikan graduan menepati kehendak pasaran kerja. Apabila graduan memenuhi keperluan industri, peluang mereka memperoleh pekerjaan menjadi lebih tinggi,” jelas beliau dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Bestari. Selain hubungan dengan industri, institusi pendidikan tinggi juga sentiasa mengemas kini kurikulum agar pelajar memperoleh kemahiran terkini yang sesuai dengan kehendak pasaran. Gabungan dua faktor utama iaitu hubungan erat dengan industri dan kurikulum yang relevan, menjadi kunci kepada peningkatan kadar bekerja graduan. Kerjasama strategik antara institusi dan industri Kerjasama erat antara KPT dan industri wujud dalam pelbagai bentuk dan program. Bentuk kerjasama ini melibatkan bukan sahaja kementerian, tetapi juga institusi pendidikan tinggi seperti universiti, politeknik dan kolej komuniti. “Di peringkat institusi, banyak program dijalankan untuk menghubungkan pelajar dengan industri. Antaranya termasuk latihan industri, bengkel kemahiran, program mentor industri dan inisiatif kolaboratif lain yang memastikan graduan memiliki kemahiran relevan dengan kehendak pasaran kerja. “Contoh program strategik termasuk Industry on Campus (IOC), yang membolehkan pelajar merasai pengalaman sebenar persekitaran industri. Kemudian, Industry@University, CEO@Faculty, Employability Advisory Committee dan Industry Advisory Council yang memberi input langsung terhadap reka bentuk kurikulum serta keperluan kemahiran graduan. “Selain itu, pelaksanaan Work-Based Learning (WBL) menerusi program Industry Driven Experiential Learning (IDEAL) di bawah kerangka Experiential Learning and Competency-based Education Landscape (EXCEL), termasuk program 2u2i (dua tahun di universiti dan dua tahun di industri) serta Program Sijil Profesional Industri, menyediakan pendedahan praktikal dalam bidang teknologi terkini seperti AI, data raya dan IoT,” katanya. Beliau berkata, kolaborasi strategik bersama syarikat global seperti Google, Microsoft dan Huawei pula memastikan modul digital profesional yang diikuti graduan adalah berstandard antarabangsa. Selain menekankan kadar bekerja graduan, KPT juga berhasrat melahirkan graduan yang benar-benar diperlukan oleh industri. Menurut Anesee, graduan lestari bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga memiliki kemahiran, nilai dan daya saing yang relevan dengan kehendak pasaran kerja. “Kolaborasi antara kementerian, institusi dan industri perlu sentiasa diperkuatkan, terutama dalam bidang teknikal, bagi memastikan graduan mempunyai kemahiran tepat dan terkini. Hubungan strategik ini membantu graduan, khususnya daripada politeknik, memperoleh pekerjaan sebaik tamat pengajian dan membangunkan kerjaya secara lestari,” tambahnya. Sementara itu, KPT turut melaksanakan pelbagai program peningkatan kemahiran (upskill) dan latihan semula (reskill) bagi memastikan pelajar dan golongan sasar sentiasa dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi selari dengan keperluan industri. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Intervensi Kebolehpasaran Graduan, Program Tauliah Industri dan Profesional Kementerian Pendidikan Tinggi (KPTiP), Pensijilan profesional dan latihan teknikal serta digital untuk menyesuaikan diri dengan kerjaya baharu dan peluang ekonomi yang berkembang. Susulan perkembangan teknologi yang pesat, KPT memastikan kurikulum universiti bersifat tangkas (agile). Silibus kini dibangunkan secara modular dengan pendekatan micro-credentials dan pembelajaran berasaskan kerja, membolehkan kandungan dikemas kini dengan pantas. “Penglibatan industri diperkukuh dalam pembangunan kurikulum untuk memastikan kesepadanan kemahiran graduan dengan kehendak semasa pasaran kerja. “Selain itu, pensyarah diwajibkan mengikuti program industrial attachment bagi mengekalkan pengalaman praktikal terkini, memastikan pengajaran bukan sekadar teori tetapi bersesuaian dengan kehendak industri,” ujarnya. Akhir sekali, Anesee menekankan bahawa hubungan rapat antara institusi dan industri adalah asas untuk memastikan graduan benar-benar memenuhi keperluan pasaran kerja. Ujarnya, matlamat besar kementerian adalah melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan negara. Dengan negara yang lebih maju dan makmur, semua rakyat akan mendapat manfaat daripada usaha ini.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035