|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| BANGI: Alumni Tindakan Siswa Bersatu (TSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menganjurkan majlis perjumpaan semula atau ;reunion' sempena sambutan Aidilfitri di Dewan Tuanku Canselor (DECTAR) di sini, pada 9 April ini.
Program julung kali diadakan ini, dianjurkan dengan kerjasama Pusat Perhubungan Alumni UKM dan dijangka dihadiri kira-kira 1,000 alumni dari dalam dan luar negara termasuk yang pernah memegang pelbagai jawatan penting sektor kerajaan dan swasta.
Pengerusi Penganjur, Datuk Mohamad Rais Zainuddin berkata program itu antara lain bertujuan menghimpunkan dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan alumni TSB yang bergiat aktif sejak penubuhannya lebih 50 tahun lalu.
Beliau berharap alumni TSB UKM akan beramai-ramai hadir untuk memberi sokongan kepada penganjuran majlis berkenaan.
"Yuran penyertaan adalah adalah sebanyak RM100 seorang. Alumni yang berminat untuk menyertai atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini boleh menghubungi Datuk Azman Adnan di talian 019-7702900 atau Zainal Mesran di talian 017-6840007.
"Sebagai menghargai jasa UKM kepada alumni TSB, sebahagian hasil kutipan program ini akan disumbangkan kepada tabung kebajikan pelajar universiti," katanya sambil memaklumkan program ini turut mendapat sokongan daripada IWealth Global Sdn Bhd, pengeluar produk jenama Rollti yang akan menaja dalam bentuk cenderamata.
Dalam kenyataan sama, TSB memaklumkan ia adalah platform gerakan pelajar aliran nasionalisme sejak 1970-an yang berjuang untuk kebajikan khususnya mahasiswa Melayu di di UKM.
Jelasnya, ia adalah sebuah gerakan politik mahasiswa berpengaruh dan sebagai kumpulan mahasiswa aliran sederhana yang menjadikan perpaduan sebagai asas keharmonian kampus.
"Penubuhan TSB dilihat sebagai usaha menjadikan kampus sebagai medan pembelajaran siasah masa depan, dengan mengambil kira acuan awal pembentukan Barisan Nasional oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
"Sejak awal penubuhannya, TSB yang banyak digerakkan oleh mahasiswa Fakulti Ekonomi serta Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan membawa aspirasi yang selari dengan arus nasionalisme Melayu.
"Gerakan ini dilihat sehaluan dengan kepimpinan pentadbiran universiti dan parti pemerintah ketika itu. Pendekatan ini memberi kelebihan dari sudut kestabilan organisasi dan hubungan institusi, sekali gus membentuk identitinya sebagai kumpulan yang pragmatik dan cenderung `pro-establishment'," kata kenyataan berkenaan.
Pengaruh TSB, menurut kenyataan itu mula terserlah apabila mereka memenangi pilihan raya kampus buat pertama kali pada sesi 1980/1981. Kemenangan itu menjadi titik tolak kebangkitan mereka dalam menguasai Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM).
Sepanjang dekad 1980-an dan 1990-an, TSB beberapa kali kembali menerajui kepimpinan mahasiswa. Pencapaian paling signifikan dicatatkan apabila memenangi pilihan raya kampus selama lima tahun berturut-turut dari 1991 hingga 1996. Tempoh ini dianggap sebagai era kemuncak dominasi TSB dalam landskap politik kampus UKM.
Namun, kebangkitan satu lagi kumpulan berteraskan slogan `Islam Penyelamat Ummah' (IPU) mencabar hegemoni berkenaan dan menyebabkan TSB melalui fasa kemerosotan pengaruh.
Dalam usaha menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik mahasiswa dan persepsi generasi baharu, TSB melakukan penjenamaan semula pada awal 2000-an dengan menggunakan nama ASPIRASI.
Strategi ini terbukti berkesan apabila mereka kembali menguasai politik kampus pada sesi 2003/2004, kali pertama menggunakan identiti baharu itu.
Sejak itu, pengaruh kelompok lain seperti IPU semakin berkurangan dalam politik kampus UKM. ASPIRASI yang mewarisi ideologi serta jaringan legasi TSB, terus mendominasi kepimpinan mahasiswa sehingga penghujung dekad 2020-an.
Dominasi ini bukan sahaja terserlah dalam kemenangan pilihan raya, malah turut membentuk budaya politik kampus yang lebih selari dengan pentadbiran universiti.
Menjelang akhir 2020-an, perpecahan dalaman dalam gerakan itu melahirkan dua kelompok baharu, iaitu Wawasan dan Revolusi Mahasiswa. Perkembangan ini menandakan fasa baharu politik kampus UKM yang lebih berpecah dan kompetitif.
Kini kepimpinan mahasiswa di Kesatuan Mahasiswa UKM (KMUKM) dikuasai oleh Pendaulat Mahasiswa sejak sesi 2021/2022 hingga kini. Walaupun menggunakan nama yang berbeza, gerakan ini masih membawa roh asal perjuangan TSB, dengan pendekatan yang sealiran dengan pentadbiran universiti.
Secara keseluruhannya, evolusi TSB - daripada gerakan nasionalis Melayu kepada ASPIRASI dan seterusnya kepada kelompok-kelompok baharu - mencerminkan dinamika berterusan politik mahasiswa UKM yang sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan zaman dan konteks institusi.
Bagi kelompok terawal pengasasnya, TSB kini sekadar tinggalan sejarah dan kenangan. Malah, secara berseloroh, mereka pernah menggelarkan TSB sebagai `Tampan, Segak dan Bergaya' - satu anekdot yang menggambarkan sisi santai dalam sebuah gerakan yang pernah mendominasi politk kampus. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |