|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) akan terus mengutamakan penekanan berkaitan pembangunan nilai integriti, keseimbangan intelektual serta spiritual kepada kakitangan, mahasiswa dan pengurusan tertinggi.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UUM, Tan Sri Dr Mazlan Yusoff, berkata nilai itu penting untuk sentiasa dihidupkan bukan sahaja dalam pembangunan akademik tetapi program anjuran universiti.
Ini kerana, katanya, ia dapat menyemai nilai ukhuwah, kebersamaan dan keprihatinan sosial yang penting dalam membentuk warga universiti cemerlang daripada segi ilmu dan tinggi nilai kemanusiaannya.
"Kita mengambil keberkatan bulan Ramadan kerana ia adalah madrasah tarbiah mendidik jiwa, memperkukuh keimanan serta memperhalusi nilai kemanusiaan dan kebersamaan dalam kalangan umat.
"Prinsip ini sangat relevan dalam aspek pengurusan universiti yang bukan sahaja menitikberatkan kecemerlangan akademik dan kepimpinan tetapi merangkumi pembangunan sahsiah," katanya dalam satu kenyataan sempena Majlis Iftar Perdana Peringkat UUM.
Mazlan juga berharap Ramadan tahun ini menjadi ruang terbaik kepada semua memperbaiki diri, memperkukuh hubungan sesama insan serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Sempena Iftar Perdana di Masjid Sultan Badlishah itu, turut diadakan penyampaian Sumbangan Bakul Ramadan kepada kakitangan dan komuniti, di samping sumbangan MADANI ResQ Pek UUM kepada 30 pelajar Pusat Asasi yang memerlukan.
Rakan strategik universiti, Jakel Cawangan Alor Setar menyumbang Baju Raya kepada 21 penerima terdiri daripada penghuni Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Anak Asnaf UUM (RUKAYDA).
Turut diadakan adalah pelancaran simbolik lakaran permaidani Masjid Sultan Badlishah yang diinspirasikan daripada motif pohon Sintok dan batik.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, program Ihya' Ramadan tahun ini mengangkat tema "Akhlak Terpuji, Kemanusiaan Diperkasa" bagi mengingatkan warga kampus mengenai nilai kesyukuran, kesederhanaan dan kepedulian sesama insan.
Beliau berkata, tema itu menggambarkan bahawa kekuatan sebenar sesebuah universiti bukan hanya terletak kepada kecemerlangan akademik tetapi bergantung kepada kesatuan hati, nilai kemanusiaan dan semangat kebersamaan yang dibina bersama.
Prinsip inilah yang diketengahkan sepanjang berlangsungnya program Ihya' Ramadan tahun ini yang diselaraskan oleh Pusat Islam UUM termasuk penganjuran Iftar Perdana yang dihadiri lebih 1,000 peserta terdiri daripada kakitangan universiti, komuniti berdekatan, rakan strategik dan mahasiswa UUM. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |