Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Bernama
Title :Konflik Asia Barat: KPT sedia tempatkan pelajar terjejas di IPT tempatan
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :17 April 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
JASIN - Kerajaan bersikap terbuka dan bersedia menempatkan pelajar Malaysia yang berdepan situasi terkandas atau terjejas pengajian di negara terlibat dalam krisis Asia Barat ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara sekiranya keadaan memerlukan. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu antara langkah kesiapsiagaan kementerian dan jaminan memastikan pengajian pelajar tidak terjejas termasuk mereka yang baru mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke negara terbabit. "Sekiranya berlaku, maka ruang akan diberikan kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran di sini (IPT dalam Malaysia), yang bersesuaian dengan keputusan, kursus dan latar belakang pendidikan mereka kerana persefahaman di peringkat universiti itu ada. "Biasanya kita akan bincangkan kursus yang boleh dipindahkan kredit berdasarkan garis panduan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) supaya pelajar dapat meneruskan pengajian tanpa perlu mengulang sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Townhall Kembara Karisma Pemimpin Muda MADANI Zon Selatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jasin di sini pada Jumaat. Beliau berkata, langkah membawa pulang pelajar dan menempatkan mereka di universiti tempatan bukan perkara baharu, sebaliknya pernah dilaksanakan termasuk ketika konflik Iran-Iraq serta melibatkan pelajar Malaysia di Kuwait. "Setakat ini belum ada angka rasmi pelajar yang terkesan (akibat krisis di Asia Barat) kerana universiti di negara terbabit masih berfungsi seperti biasa malah jumlahnya agak kecil berbanding pelajar di negara lain seperti di Jordan atau Mesir. "Pun begitu kementerian akan bersiap sedia dan menunggu maklum balas daripada pelajar dan institusi pengajian sebelum sebarang tindakan lanjut diambil," katanya.- Bernama 
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035