|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KOTA BHARU - Kawalan keselamatan diteruskan pihak pengurusan bagi menjamin keselamatan penuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan, kampus Machang susulan insiden tembakan melibatkan polis dan suspek jenayah di hadapan institusi itu baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, Profesor Ir Ts Dr Juliana Johari menjelaskan bahawa kejadian berkenaan berlaku di luar pagar kampus dan tidak melibatkan penuntut atau kawasan dalaman universiti.
Menurut beliau, kawalan keselamatan di dalam kampus sememangnya dilaksanakan secara berterusan termasuk rondaan berkala oleh polis bantuan serta pemantauan pihak pengurusan dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
“Setakat ini, kawalan keselamatan memang sentiasa ada.
“Rondaan dilakukan dan penuntut juga dipantau, jadi dari segi keselamatan dalam kampus, ia terkawal,” katanya selepas merasmikan Majlis Makan Malam Alumni sempena sambutan empat dekad penubuhan UiTM Kelantan di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Dalam insiden lewat malam Rabu lepas, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditembak polis dan cedera di paha kanan selepas menyerang anggota dengan melibas parang dalam kejadian di hadapan universiti berkenaan.
Tambah Juliana, UiTM turut meneruskan penguatkuasaan prosedur keluar masuk pelajar yang sudah lama diamalkan sebagai langkah pencegahan, termasuk penetapan waktu tertentu pada waktu malam.
“Pagar kampus akan dikunci selepas jam 12 malam dan setiap pergerakan keluar masuk akan direkodkan.
“Penuntut yang pulang lewat juga akan disoal bagi memastikan keselamatan mereka terjamin,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, UiTM terus mengukuhkan reputasinya sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik bahkan menitikberatkan kebajikan serta keselamatan pelajar.
Berdasarkan penilaian Talentbank Graduate Employability Index 2026, UiTM tersenarai sebagai antara tiga universiti awam terbaik di Malaysia selain beberapa bidang pengajian diiktiraf sebagai pilihan utama majikan.
“Pengiktirafan tersebut mencerminkan keupayaan universiti dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi selari dengan usaha berterusan memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif,” kata beliau. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |