|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjelaskan pihak Universiti Malaya (UM) akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung persembahan teater yang didakwa berunsur 'soft porn' dalam satu pertandingan seni di universiti terbabit.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata, laporan perkara itu telah diterima pihaknya dari UM.
"Saya kira (kejadian) lebih kepada kekhilafan dan mungkin mereka 'excited' untuk mempamerkan seni itu sehingga mungkin terkhilaf dari segi sensitiviti.
"Apa juga yang dilakukan, pihak universiti perlu sentiasa sensitif dan bersama sebab kita lihat betkayra anak muda kadang mereka teruja dan tiada niat," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) KPT dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Isnin.
Perjanjian itu berlangsung pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026.
Tambah Azlinda, nasihat perlu diberikan bagi mengurangkan sensitiviti isu sedemikian kerana budaya ketimuran negara masih dikekalkan.
Khamis lalu, UM dalam kenyataan berkata, teater yang dipersembahkan itu dikesan jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan yang ditetapkan.
UM memaklumkan, hasil penelitian mendapati adegan yang dipertontonkan adalah tidak selaras dengan skrip asal yang sudah melalui proses tapisan dan jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan yang ditetapkan.
Sebelum itu, satu persembahan teater yang didakwa berlaku di sebuah dewan di UM menjadi tular apabila memaparkan adegan ghairah 'di atas katil' dan netizen mendakwa, ia berunsur 'soft porn' dan tidak sepatutnya berlaku di sebuah institusi pengajian yang terbilang itu.
Berikutan itu, UM menegaskan pihaknya mengambil maklum mengenai segala kebimbangan yang dibangkitkan dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan program atau peraturan yang ditetapkan. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |