|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan untuk Masjid Al-Hikmah, Kampung Pahang, Kepulauan Lingga, Riau, Indonesia.
Sumbangan al-Quran, buku surah Yasin dan wang tunai itu sebagai tanda keprihatinan, sikap ambil berat dan simbol pengukuhan persahabatan antara Pahang dan Lingga.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, keprihatinan Paduka Baginda itu mencerminkan kasih dan ihsan, sekali gus menjadi lambang hubungan erat yang berakar umbi antara dua wilayah serumpun.
Menurutnya, kerajaan Pahang turut menyumbang 120 kit peralatan sekolah, peralatan dan perkakasan sukan serta sumbangan wang tunai sebagai tanda keprihatinan dan pengukuhan silaturrahim terhadap anak-anak dan penduduk di pulau tersebut.
Sumbangan itu disampaikan pada kunjungan delegasi Pahang sempena Program Jati Diri Jejak Warisan Melayu dan Silang Budaya Pahang - Lingga 2026.
"Keberadaan kami di sini bagi menelusuri jejak sejarah, warisan dan budaya serumpun antara Pahang dan Lingga, yang telah sekian lama berakar sejak zaman kegemilangan Kesultanan Melayu dahulu.
"Program ini juga menjadi ruang memupuk semangat kepimpinan dan jati diri berteraskan identiti Melayu sambil membuka lebih banyak peluang kerjasama yang lebih erat antara agensi Negeri Pahang dan Lingga," katanya melalui hantaran di Facebook.
Turut serta dalam delegasi itu Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga,Datuk Sabariah Saidan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Khaizulnizam Mohamad Zuldin.
Fadzli berkata, peluang berkunjung ke beberapa rumah di Kampung Pahang, Lingga bagi mengenali lebih rapat kehidupan masyarakat serta susur galur sejarah penduduk di sini begitu mengujakan.
"Teruja kerana seumur hidup baru kini saya mengetahui tentang kewujudan sebuah perkampungan bernama 'Kampung Pahang' yang tersergam indah di Kepulauan Lingga, Indonesia ini.
"Lebih menarik dan mengagumkan, penduduk Kampung Pahang ini kaya dengan adat dan budaya Melayu yang diterjemahkan secara bersahaja melalui pantun, madah, gurindam dan syair," katanya.
Tambah beliau lagi, semakin lama di kampung itu, semakin beliau merasakan pertalian rapatnya dengan Negeri Pahang, sesuai dengan ungkapan 'kita serumpun'.
Jelasnya, sempena kunjungan itu, delegasi Pahang turut menanam anak pokok di kawasan Pusat Pemerintahan Kabutapen Lingga sebagai simbolik persahabatan antara Pahang dan Lingga.
"Semoga Dusun Persahabatan ini terus hidup subur, menjadi lambang hubungan Serumpun, Seakar dan Sejiwa antara dua wilayah. Insya-Allah," ujarnya.
Melalui hantaran Facebooknya itu, Fadzli turut berkongsi aktivitinya semasa di sana termasuk kunjungan ke Rumah Tenun Daik yang terkenal dengan penghasilan kain Telepuk.
Turut dikunjungi, Muzium Linggam Cahaya bagi mengenali dengan lebih dekat ketamadunan, sejarah dan budaya orang Melayu melalui pelbagai koleksi barangan antik dan perkakasan sejak zaman Kesultanan Johor-Riau-Pahang.
"Setiap artifak membawa kisah perjuangan, kedaulatan dan jati diri bangsa yang harus terus dipelihara serta diwarisi oleh generasi akan datang," ujarnya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |