Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Nik Amirulmumin Nik Min
Title :PM lancar Madani Mart, sasar 640 premis seluruh negara
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :03 April 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan kedai runcit MADANI Mart yang pertama di negara ini melalui cawangan Indera Mahkota 8 (IM8) pada Jumaat. Beliau tiba kira-kira jam 3 petang sebelum menyempurnakan majlis perasmian diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh. Pada majlis itu, Perdana Menteri turut meninjau dan ‘berbelanja’ di Madani Mart berkenaan sebelum beredar meneruskan jadual lawatannya ke Kuantan. Inisiatif Madani Mart yang diterajui Yayasan Madani itu merupakan strategi Kerajaan Madani dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat serta menangani cabaran kos sara hidup secara menyeluruh. Sementara itu, Fuziah berkata, Madani Mart merupakan konsep kedai komuniti yang menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan dan mudah dicapai oleh rakyat, berteraskan slogan ‘Kedai Runcit Harga Rahmah’. Menurutnya, pendekatan itu menekankan prinsip keterjangkauan, kebolehcapaian dan keadilan harga, selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani. “Pelaksanaan Madani Mart digerakkan melalui model kerjasama strategik melibatkan sektor awam, swasta dan sosial. “Kerjasama itu terdiri daripada Yayasan Madani sebagai pemacu utama menyelaras ekosistem serta rantaian bekalan; KPDN sebagai rakan strategik melalui inisiatif Jualan Rahmah bagi memastikan penyediaan barangan keperluan pada harga lebih rendah secara bersasar; serta operator atau pemegang lesen (swasta) sebagai pelaksana operasi dengan pelaburan dan komitmen bagi memastikan kelangsungan premis,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Madani Mart IM8, Indera Mahkota di sini pada Jumaat. Fuziah berkata, bagi memperluas capaian, Yayasan Madani menyasarkan sekurang-kurangnya satu kedai itu di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan sasaran minimum 640 premis di seluruh negara dalam tempoh dua tahun, disokong enam hab pengedaran utama. Sementara itu, Fuziah menafikan bahawa inisiatif Madani Mart merupakan ‘ciplak’ atau model kedai rakyat yang pernah diperkenalkan kerajaan sebelum ini. Beliau berkata, Madani Mart menggunakan pendekatan baharu tanpa melibatkan perbelanjaan modal kerajaan. Katanya, berbeza dengan model terdahulu yang memerlukan kerajaan menyediakan peruntukan besar termasuk kos pengubahsuaian premis dan inventori, pelaksanaan Madani Mart dilakukan melalui kerjasama dengan pengusaha yang diluluskan. “Pendekatan itu menjadikan Madani Mart sebagai model yang memberi manfaat kepada semua pihak tanpa membebankan kerajaan. “Model terdahulu kerajaan mengeluarkan modal, melakukan pengubahsuaian, menyediakan rak dan menanggung kos inventori sehingga ratusan ribu ringgit bagi setiap outlet. “Dalam Madani Mart ini, kerajaan tidak mengeluarkan modal. Ia model menang-menang kepada semua pihak dan yang paling mendapat manfaat ialah rakyat,” katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035