Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Nik Amirulmumin Nik Min
Title :Pengurus jenazah tanpa henti
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :19 April 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
ROMPIN – Hampir sembilan tahun sebagai sukarelawan pengurusan jenazah mematangkan Mohamad Izzuddin Yakub, 39, dalam menghadapi pelbagai cabaran menunaikan tuntutan fardu kifayah itu. Pada masa sama, beliau berasa puas apabila Pertubuhan Amalteam Rompin yang diasaskan pada tahun 2023 mendapat kepercayaan waris untuk menguruskan jenazah ahli keluarga mereka. Katanya, sebagai NGO berdaftar, Amalteam Rompin turut diberi kebenaran oleh Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (Jaip) untuk menguruskan jenazah di negeri itu. “Khidmat kami bukan hanya di Pahang, malah jika ada permintaan di negeri lain, kami sedia membantu. Niat kami ikhlas, menawarkan pengurusan jenazah secara percuma bagi meringankan beban waris kurang berkemampuan,” katanya kepada Sinar Ahad. Menurutnya, setiap panggilan yang diterima sering datang tanpa mengira waktu, termasuk tengah malam atau awal pagi, dan memerlukan tindakan segera bagi memastikan jenazah dapat diuruskan dengan sempurna. “Kadang-kadang kami bergerak dalam keadaan tergesa-gesa, namun setiap langkah perlu tenang dan teratur kerana ia melibatkan maruah serta penghormatan terakhir kepada si mati,” ujarnya. Bekas pensyarah kolej swasta itu berkata, mereka pernah menguruskan jenazah dalam beberapa kejadian tragis yang menggemparkan negara bersama pasukan amal lain. “Antaranya lima sekeluarga maut kemalangan di Nenasi, Pekan pada 2024 dan kes sama membabitkan empat beradik di Jerantut pada Aidiladha tahun lalu. “Kami juga terlibat menguruskan jenazah lima sekeluarga di Taman Cerating Damai, Kuantan serta membantu kes Suri Narudin di Pedas, Negeri Sembilan pada Disember 2025,” ujarnya. Menurutnya, dengan moto ‘tiada hari tanpa amal, bantu tanpa henti, bantu tanpa nanti’, semua khidmat termasuk van jenazah, mandi, kafan dan kain kapan disediakan secara percuma. Tambahnya, setiap operasi memerlukan perancangan rapi termasuk penyediaan peralatan mencukupi, pengurusan logistik dan pembahagian tugas agar proses berjalan lancar tanpa menjejaskan adab terhadap jenazah. Selain itu, Amalteam Rompin turut menyediakan ambulans percuma, pengurusan jenazah warga asing (eksport kargo), misi bantuan bencana serta khidmat masyarakat. Dalam melaksanakan kerja itu, beliau dibantu isterinya, Izzati Mohamad Amran, 37, bekas anggota bomba serta 34 sukarelawan termasuk 12 wanita. Katanya, menguruskan jenazah bukan tugas mudah kerana menuntut keberanian, keikhlasan, amanah dan kesabaran tinggi. “Sejak 2018, saya banyak belajar cabaran sebenar kerana ada jenazah dalam keadaan di luar jangkaan, terutama kes polis melibatkan ramai mangsa yang memerlukan kerjasama pasukan,” katanya. Tambahnya, Amalteam Rompin sering bergabung dengan NGO lain seperti Afiz Ayub Foundation bagi kes besar, selain berkoordinasi rapat dengan waris, pegawai penyiasat dan pihak forensik bagi memastikan pengebumian berjalan lancar. “Koordinasi sangat penting kerana setiap pihak mempunyai peranan tersendiri. Kami pastikan semua urusan berjalan teratur supaya jenazah dapat disempurnakan secepat mungkin,” katanya. Berkongsi pengalaman, bapa lima anak itu mengakui banyak kisah menginsafkan dilalui. “Antara yang menyentuh hati ialah menguruskan jenazah lelaki di Kuala Lumpur pada 2019. Walaupun keadaannya mencabar kerana sudah beberapa hari meninggal dunia, selepas dimandikan kami terhidu bau sangat wangi. “Rupanya arwah semasa hidup istiqamah membaca al-Quran,” katanya. Namun, tidak semua pengalaman menyenangkan apabila pernah berlaku pertelingkahan waris sehingga bertumbuk ketika jenazah sedang diuruskan. “Sebelum itu wajah jenazah sangat tenang, namun selepas pergaduhan berlaku, wajahnya kelihatan berkerut ketika kami menyambung urusan,” katanya. Katanya lagi, setiap pengalaman itu menjadi peringatan buat dirinya dan pasukan bahawa tugas mereka bukan sekadar mengurus jasad, tetapi turut berdepan emosi waris yang sedang berduka. “Di situlah pentingnya kesabaran dan hikmah. Kita bukan sahaja mengurus jenazah, tetapi membantu keluarga menghadapi saat paling sukar dalam hidup mereka,” ujarnya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035