|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menafikan dakwaan yang mengaitkan fasiliti imbasan Positron Emission Tomography-Computed Tomography (PET-CT) di Unit Perubatan Nuklear, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan risiko radiasi berbahaya.
UM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum kebimbangan berhubung isu kesihatan membabitkan warga kerja, bagaimanapun rekod rasmi menunjukkan bahawa dedahan radiasi pekerja adalah jauh lebih rendah dan berada di bawah had dos yang diwartakan.
“Operasi imbasan PET-CT dilaksanakan mengikut piawaian keselamatan yang ketat dan tahap pendedahan radiasi adalah mengikut standard yang ditetapkan serta terkawal.
“Semua pekerja sinaran diwajibkan memakai dosimeter peribadi dan rekod rasmi menunjukkan dedahan radiasi pekerja adalah jauh lebih rendah serta berada di bawah had dos yang diwartakan.
“Pemeriksaan kesihatan berkala juga dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa PPUM mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) Program Perlindungan Sinaran, Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304), serta peraturan berkaitan perlindungan sinaran keselamatan asas dan pengurusan sisa radioaktif.
“Pemeriksaan oleh Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan (BKRP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada Oktober 2025 mendapati tiada pelanggaran prosedur dan PPUM mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Lawatan pemeriksaan lesen secara tahunan oleh pihak penguat kuasa BKRP turut dilaksanakan mengikut keperluan,” jelasnya.
Tambah kenyataan itu, keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan warga kerja serta orang awam sentiasa menjadi keutamaan di PPUM.
“Justeru, UM memberi jaminan persekitaran kerja yang melibatkan radiasi adalah selamat dan sentiasa diawasi oleh badan kawal selia bertauliah, selain menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi tidak berasas,” kata kenyataan itu. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |