|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan penempatan di universiti awam (UA) kepada 13,779 pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Azlinda Azman berkata, penempatan yang diterima bergantung kepada merit keputusan pelajar berkenaan serta unjuran tempat dalam program dipohon sepertimana ditetapkan oleh satu-satu universiti.
“Penempatan sama ada pilihan pertama, kedua atau ketiga itu adalah tertakluk kepada kekuatan keputusan pelajar terbabit dan unjuran tempat di universiti yang dipohon,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya, pada Khamis.
Menurutnya, sistem UPUOnline ada instrumen utama KPT dalam menterjemahkan agenda inklusiviti nasional melalui beberapa langkah strategik dalam memastikan tiada pelajar layak dipinggirkan.
“Walaupun inklusif, sistem ini tetap berpaksikan kepada pemilihan secara meritokrasi iaitu 90 peratus pencapaian akademik dan 10 peratus bagi pencapaian kokurikulum,” jelas beliau.
Ujarnya, konsep single window dan single offer menerusi UPUOnline mampu memperluas peluang kemasukan kepada lebih ramai pelajar ke - 20 universiti awam dengan memastikan setiap calon hanya menerima satu tawaran terbaik sekali gus mengelakkan pertindihan.
“Sistem tawaran akan memastikan pelajar berkenaan hanya mendapat satu tawaran yang terbaik,” kata Azlinda.
Selain IPTA, beliau berkata, konsep single window dan single offer turut menyatukan 36 politeknik, 106 kolej komuniti dan dua agensi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Bahagian Pendidikan Tinggi di dalam sistem UPUOnline.
Ia memberi kepelbagaian pilihan kepada pelajar yang kurang cenderung kepada akademik, boleh melihat pilihan menerusi Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) yang lebih praktikal dalam sistem sama.
“Konsep ini juga memartabatkan pendidikan kemahiran sebagai pilihan utama dan bukannya kedua,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Azlinda berkata, KPT turut memberi tumpuan kepada usaha memperluas akses pendidikan tinggi khususnya kepada golongan kurang berkemampuan.
Beliau berkata, kementerian komited memastikan tiada pelajar tercicir termasuklah kumpulan B40 dan luar bandar.
“Tidak ada yang tercicir kerana menerusi program Jom Masuk U, seboleh mungkin kita mahu memudahkan mana-mana pihak untuk memohon,” katanya.
Tambah beliau, program itu menjadi antara pendekatan utama kementerian bagi membantu pelajar yang kurang akses kepada maklumat dan kemudahan.
“Mungkin ada pelajar berkelayakan di kawasan tertentu yang datang dari pedalaman, kita turun padang bersama pihak universiti, buka portal UPUOnline dan bantu mereka untuk memohon secara online,” katanya.
Pelajar berkeperluan khas tidak terpinggir
Mengulas mengenai kuota khusus, Azlinda berkata, penyertaan pelajar daripada latar belakang ke IPTA sentiasa dipantau.
“Tidak ada kuota, tetapi kadang-kadang kita melihat ramai pula yang miskin atau pelajar pedalaman tetapi biasanya 20 peratus lebih kurang,” katanya.
Selain itu, KPT turut memastikan pelajar berkeperluan khas tidak terpinggir dalam sistem kemasukan ke IPT.
“Kita akan ada satu jawatankuasa yang akan bermesyuarat untuk memastikan setiap pelajar orang kurang upaya (OKU) yang memohon itu tidak terlepas daripada mengakses,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan tersebut termasuk menyediakan cadangan alternatif sekiranya kursus dipohon tidak bersesuaian dengan keadaan pelajar.
“Kadang-kala terdapat OKU mohon kursus kejururawatan tapi ia mungkin tidak bersesuaian… jadi kita akan menilai untuk membantu supaya golongan ini dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi mengikut kesesuaian,” katanya.
Pastikan kursus kekal relevan
Dalam aspek kebolehpasaran graduan, Azlinda menegaskan semua program ditawarkan melalui UPU Online telah melalui proses saringan ketat.
“Sebanyak 1,146 program akademik yang ditawarkan pada ketika ini sebenarnya adalah dikawal dan dijamin kualitinya,” katanya.
Menurut beliau, setiap program perlu mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta input industri sebelum diluluskan untuk ditawarkan.
Pendekatan tersebut sekali gus bagi memastikan kursus kekal relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa.
“Begitu juga dengan penambahan tempat pengajian yang mana ketika ini terdapat 134,536 tempat disediakan termasuk 3,000 tambahan baru-baru ini.
“Kalau misalnya semikonduktor semakin meningkat diperlukan oleh negara, maka kita tambah kursus-kursus yang berkaitan,” katanya.
Selain itu, bidang kecerdasan buatan (AI) turut diberi keutamaan dalam perancangan pengambilan pelajar.
“Kalau kita bercakap tentang AI, KPT sudah peluas untuk pertambahan setiap universiti,” katanya.
Azlinda menegaskan, segala keputusan berkaitan penawaran program dibuat berdasarkan keperluan industri, bukan secara rawak.
“Jadi apabila pelaksanaan pertambahan itu dibuat, ia memang berdasarkan kepada keperluan industri. Bukan main tambah sahaja,” katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |