|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN – Kerajaan akan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendepani cabaran susulan konflik di Asia Barat ketika ini.
Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPUPK), Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beberapa langkah proaktif telah diambil termasuk turun padang bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan secara langsung daripada PMKS di seluruh negara.
Menurutnya, satu pertemuan telah diadakan bersama pengusaha PMKS di wilayah utara, dengan pelbagai pandangan serta cadangan dikemukakan.
"Kami telah berbincang dan banyak cadangan dikemukakan. Perkara ini akan saya bawa kepada pihak atasan.
"Saya tidak boleh menentukannya lagi kerana belum ada keputusan dan semuanya akan diputuskan oleh menteri serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang di Kompleks Yayasan Pahang, di sini, pada Rabu.
Wan Rosdy berkata, daripada cadangan yang diterima, ada yang baik dan munasabah, malah ada yang perlu dikaji serta diteliti dengan lebih lanjut.
"Setakat ini, semuanya masih di peringkat awal," ujarnya.
Sementara itu, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang memberi jaminan akan meneliti cadangan Majlis Belia Pahang agar caj Kedai TikTok distruktur semula bagi membantu meringankan beban usahawan PMKS yang kini berdepan peningkatan kos operasi.
"Kerajaan akan meneliti cadangan itu. Ia cadangan yang baik dan sekiranya dapat menjimatkan kos, kita akan mengemukakan syor," katanya.
Presiden Majlis Belia Pahang, Saharuddin Ahmad melalui kenyataan sebelum ini mendakwa caj platform kedai dalam talian itu antara 20 hingga 25 peratus ketika ini memberi tekanan besar kepada margin keuntungan usahawan.
Situasi itu menjadi semakin mencabar apabila usahawan turut berdepan kenaikan kos bahan mentah, kos logistik serta ketidaktentuan harga bahan api seperti diesel.
Justeru, beliau mencadangkan agar kadar caj platform diturunkan kepada antara 10 hingga 15 peratus, dengan pendekatan berperingkat mengikut kategori PMKS. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |