Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :‘Hutang budi dibawa mati’: Istana Pahang ambil maklum kenyataan PM Anwar
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :09/05/2026 | 07:20 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri Pahang. Dalam satu kenyataan media ringkas yang dikeluarkan malam tadi, Tengku Hassanal menegaskan pendirian agar Pahang diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama oleh kerajaan Pusat. “Sehubungan itu, saya ingin menegaskan pendirian agar negeri Pahang diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama,” titah baginda. Tengku Hassanal turut memetik sebuah pantun lama mengiringi kenyataan media berkenaan. Petikan pantun pilihan Tengku Mahkota Pahang itu ialah: Pisang emas dibawa belayar,Masak sebiji di atas peti,Hutang emas boleh dibayar,Hutang budi dibawa mati. Terdahulu, Anwar berkata, beliau akan meminta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyediakan penjelasan menyeluruh berhubung peruntukan Pusat kepada Pahang untuk dikemukakan kepada Tengku Hassanal. Menurut Perdana Menteri, penjelasan berkenaan turut merangkumi kedudukan makroekonomi negara, tekanan ekonomi semasa serta isu pembaziran yang masih berlaku dalam pelbagai sektor. “Saya hormat Tengku Mahkota… tetapi peruntukan kepada negeri Pahang itu besar, bukan kecil. Saya akan minta Menteri Kewangan II menulis dan memberikan penjelasan keseluruhannya mengenai peruntukan untuk negeri Pahang serta keadaan ekonomi semasa. “Sebagai rakyat, kita hormati dan kita teliti dengan baik,” katanya ketika mengulas teguran Tengku Hassanal. Tengku Mahkota Pahang sebelum itu bertitah mempersoalkan peruntukan pusat ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15. Menurut baginda, Pahang menerima kelulusan 133 projek baharu dan 434 projek sambungan dengan nilai keseluruhan mencecah RM3.386 bilion. “Saya tidak mahu melihat berlakunya ketirisan, kelewatan mahupun pembaziran. Setiap sen peruntukan mesti dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat,” titah baginda. Selain itu, Tengku Hassanal turut menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan Pusat yang tidak meluluskan usaha kerajaan Pahang untuk menambah hasil negeri, termasuk melalui eksport pasir sungai.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035