Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Title :Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dijangka siap 2031 - Exco
Faculty :Astro AWANI
Year of Publication :Bernama 12/05/2026 | 18:00 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng di sini dijangka siap pada 2031, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohamad Nizar Najib. Beliau berkata projek berkenaan kini berada pada peringkat untuk memuktamadkan keperluan teknikal, struktur pelaksanaan serta penglibatan pelabur strategik. Pada masa sama, beliau berkata pelaksanaannya adalah tertakluk kepada pematuhan syarat teknikal yang ketat oleh agensi Persekutuan, antaranya Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Kementerian Pengangkutan, khususnya melibatkan aspek kawal selia, keselamatan dan piawaian operasi penerbangan antarabangsa. Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerajaan negeri bersama pihak pemaju sedang melaksanakan libat urus berterusan dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan setiap keperluan teknikal dipenuhi sebelum pelaksanaan fizikal diteruskan. “Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa projek ini dilaksanakan secara berhemat, terancang dan berasaskan keupayaan sebenar, dengan keutamaan kepada pematuhan piawaian, daya maju pelaburan serta tadbir urus yang telus,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) yang ingin tahu status terkini dan halangan pembinaan lapangan terbang berkenaan yang sebelum ini dijadualkan beroperasi pada tahun ini.   Mohamad Nizar memaklumkan cadangan pembangunan infrastruktur berkenaan dilaksanakan menerusi pendekatan pembiayaan swasta dan tidak melibatkan dana kerajaan negeri serta Persekutuan yang dibina di atas tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang. Beliau berkata projek berimpak tinggi berkenaan perlu perancangan yang teliti kerana lapangan terbang itu dibina untuk beroperasi dalam tempoh 50 hingga 100 tahun di samping perlu mematuhi piawaian agensi terlibat. “Tak boleh tergesa-gesa sebab ini adalah aset melibatkan kos berbillion ringgit. Pada perspektif kerajaan negeri, projek ini berjalan lancar dan insya-Allah ada pengumuman menarik oleh pihak pemaju dalam masa terdekat,” katanya. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035