Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Awani
Title :'KPT tidak iktiraf sukatan pelajaran UEC, sekadar beri laluan'
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :15 Mei 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tetap tidak mengiktiraf sukatan pelajaran Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Ketua Pengarah KPT, Datuk Azlinda Azman. Beliau berkata, sebaliknya KPT sekadar memberi laluan kepada lepasan sijil itu untuk mengikuti kursus tertentu di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Azlinda berkata, pihak universiti juga akan menilai syarat-syarat dan kriteria pelajar berkelulusan UEC yang memohon untuk melanjutkan pengajian ke IPTA. “Sekali lagi saya tekankan, ini bukan soal pengiktirafan sllyabus (sukatan pelajaran) UEC, yang penting kita memberi laluan tersebut,” katanya semasa sidang media di sini hari ini. Azlinda turut menegaskan, Senat Universiti tidak akan berkompromi dalam menentukan kualiti dan standard permohonan yang akan dibuka pada 30 Jun depan untuk pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC). Jelasnya, semua permohonan kemasukan ke IPTA akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik, serta tertakluk kepada penilaian dan keputusan Senat Universiti. “Tiada siapa yang boleh campur tangan, jadi mereka (Senat Universiti) ada kriterianya,” katanya. Pada masa sama beliau turut menjelaskan hanya tiga universiti yang dibuka untuk permohonan lulusan UEC dengan melibatkan empat program. Antara universiti yang terlibat ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Manakala program yang dibuka ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Bahasa Cina dengan Pendidikan. Tambahnya, KPT juga masih belum berhasrat memperluas ke program lain sebaliknya hanya menumpukan kepada empat program berkenaan sahaja. Semalam, KPT mengumumkan selain SMPC lepasan sekolah, institusi tahfiz turut berpeluang mengikuti beberapa program tertentu yang dikenal pasti di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA). Keputusan tersebut dibuat berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA. Azlina turut mengesahkan keputusan Kabinet adalah keputusan dasar yang tidak perlu dibawa ke Parlimen. - Awani 
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035