Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Nik Amirulmumin Nik Min
Title :Restoran jual hidangan ikan patin liar RM900 patuhi keuntungan dibenarkan - Exco
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :11 Jun 2026
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN - Sebuah restoran di Genting Highlands yang menyediakan hidangan ikan patin kukus berharga lebih RM900 hingga menimbulkan rasa tidak puas hati pelanggan dari Singapura Mac lalu didapati mematuhi kadar keuntungan dibenarkan bagi hidangan tersebut. Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Sim Chon Siang berkata, hasil siasatan dan analisa dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang ke atas semua dokumen dikemukakan mendapati tiada unsur mencatut atau pengambilan untung tinggi tidak munasabah sebagaimana didakwa. Menurutnya, analisa awal pencatutan ke atas restoran di Taman Gohtong Jaya itu dilakukan mengambil kira formula asas keuntungan yang dibenarkan pada tahun semasa. "Kadar harga RM338 sekilogram yang dikenakan bagi hidangan ikan patin seberat 2.7 kilogram itu didapati masih di bawah peratus keuntungan maksimum yang dibenarkan. "Hasil pemeriksaan dijalankan menunjukkan harga hidangan sudah dinyatakan dengan jelas dalam menu iaitu RM33.80 bagi setiap 100gram," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis. Turut hadir Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin. Chon Siang berkata, susulan konterversi itu, KPDN Pahang telah menyerahkan Notis Bertulis (NB) pada 4 April lalu kepada kedai makanan tersebut. Katanya, mana-mana individu atau syarikat berkaitan diingatkan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011. "Bagi pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, denda tidak melebihi RM200,000 jika sabit kesalahan. "Bagi individu, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya,denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. Isu itu timbul selepas 13 pelancong dari Singapura mendakwa mereka dikenakan bayaran tinggi lebih RM900 bagi hidangan ikan sungai liar terbabit. Difahamkan isu itu turut mendapat liputan meluas media Singapura.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035