Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Main Author :Bernama
Title :76,361 aduan konflik hidupan liar babitkan kerugian RM58.7 juta direkodkan sejak 2021
Faculty :Astro AWANI
Year of Publication :14/06/2026 | 19:15 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KOTA TINGGI: Sebanyak 76,361 aduan konflik hidupan liar direkodkan di seluruh negara dengan anggaran kerugian RM58.7 juta sejak 2021 hingga Mei lepas. Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata daripada jumlah itu, 9,063 aduan konflik dilaporkan di Johor dengan kerugian mencecah RM7.5 juta. “Justeru, konflik ini perlu ditangani segera kerana bukan sahaja boleh mengakibatkan kemusnahan tanaman pertanian dan kerosakan harta benda tetapi juga menyebabkan kecederaan serta kehilangan nyawa,” katanya ketika berucap di Pusat Santuari Gajah Johor di sini semalam. Arthur berkata konflik manusia dan hidupan liar melibatkan kera, gajah, babi hutan, Harimau Malaya dan tapir menunjukkan trend yang semakin membimbangkan. Beliau berkata situasi itu berlaku disebabkan kehilangan habitat hidupan liar akibat perubahan guna tanah bagi aktiviti pertanian, perladangan serta pembangunan infrastruktur linear seperti jalan raya, empangan, penempatan manusia dan perbandaran. “Sebagai contoh, gajah memerlukan kawasan keliaran yang luas antara 10 hingga 250 kilometer persegi, bergantung kepada sumber makanan serta komposisi kumpulan yang terlibat,” katanya. Beliau berkata kementerian itu telah menjalankan pelbagai inisiatif bagi menangani konflik manusia dan hidupan liar, terutama gajah seperti membangunkan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (NECAP), menubuhkan santuari gajah dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Lanchang, Pahang serta membangunkan Sistem Pagar Elektrik Gajah, selain penubuhan jawatankuasa khas oleh Johor tahun lepas. “Pendekatan kolaboratif antara kerajaan negeri, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Kementerian Pengangkutan dan Perbadanan Aset Keretapi juga adalah penting dalam menangani isu perlintasan tidak terkawal gajah di Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, khususnya di kawasan panas Labis-Bekok-Paloh dan Mengkibol-Renggam,” katanya. Pada majlis itu, Arthur turut menyampaikan Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) kepada sembilan pemohon berjumlah RM79,600. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035