Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :JKNP siasat dakwaan pengunjung kawasan rekreasi di Bentong alami gastroenteritis akut
Faculty :Astro AWNI
Year of Publication :17/06/2026 | 10:00 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menjalankan siasatan susulan dakwaan beberapa pengunjung mengalami gejala cirit-birit, muntah dan demam selepas mandi sungai di kawasan rekreasi dekat Bentong baru-baru ini. JKNP dalam kenyataan memaklumkan penilaian risiko telah dilakukan dan hasil siasatan awal mendapati, tiada notifikasi kejadian keracunan makanan atau peningkatan luar biasa kes Gastroenteritis Akut (AGE) yang diterima melalui sistem survelan sedia ada. “Setakat ini juga, tiada kes AGE yang dapat disahkan mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut. Persampelan air mentah untuk analisis mikrobiologi turut dijalankan di beberapa lokasi sepanjang Sungai Benus, Janda Baik pada 14 Jun dan masih menunggu keputusan analisis makmal tersebut,” menurut kenyataan itu.  JKNP memaklumkan tindakan kawalan dan pencegahan yang sedang dilaksanakan termasuk pengesanan kes secara aktif, siasatan epidemiologi bagi mengenal pasti sumber pendedahan dan faktor risiko yang berkaitan serta penilaian risiko persekitaran di kawasan rekreasi yang terlibat. Menurut kenyataan itu, survelan AGE di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta di kawasan sekitar turut dipertingkat bagi mengesan sebarang kluster atau peningkatan kes yang mempunyai kaitan epidemiologi. Pada masa yang sama, JKNP bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam menjalankan penilaian kualiti air dan mengenal pasti kemungkinan sumber pencemaran bagi menyokong pelaksanaan langkah kawalan yang bersesuaian. Sehubungan dengan itu, JKNP menasihatkan orang awam yang mengalami gejala seperti cirit-birit, muntah, sakit perut atau demam selepas menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan sungai berkenaan, supaya mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dengan segera di fasiliti kesihatan berhampiran. Pengusaha premis rekreasi dan penginapan pula hendaklah memastikan kemudahan sanitasi, bekalan air bersih dan sistem kumbahan mematuhi keperluan kesihatan awam, serta diselenggara secara berkala bagi mengurangkan risiko pencemaran persekitaran dan penyakit bawaan air. Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau situasi ini dengan teliti dan akan memaklumkan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa berdasarkan hasil siasatan epidemiologi, penilaian risiko serta keputusan analisis makmal. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan awam dan sentiasa mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KKM. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035