Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Kerajaan Persekutuan lulus penubuhan Majlis Tahfiz Negara
Faculty :Astro AWANI
Year of Publication :18/06/2026 | 23:54 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Kerajaan Persekutuan meluluskan penubuhan Majlis Tahfiz Negara  sebagai satu langkah besar bagi menyelaras hala tuju, model pendidikan, standard pengiktirafan dan laluan akademik pelajar tahfiz di seluruh negara. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu telah diluluskan dalam Mesyuarat Kabinet pada minggu lepas.  “Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) meminta saya yang menjadi pengerusi (Majlis Tahfiz Negara). Insya-Allah dengan sokongan semua ia akan menjadi satu langkah besar,” katanya ketika berucap pada Majlis Himpunan Huffaz Negeri Pahang Tahun 2026 di Yayasan Pahang, hari ini.  Majlis yang julung kali diadakan itu berjaya menghimpunkan lebih 5,000 huffaz di seluruh negeri ini. Dalam pada itu, beliau berharap dengan penubuhan Majlis Tahfiz Negara, pendidikan itu dapat dilihat sebagai laluan pendidikan yang luas, serta diiktiraf dalam sistem pendidikan.  “Saya mahu anak-anak tahfiz mampu bergerak daripada madrasah ke universiti, daripada hafazan kepada kemahiran dan daripada institusi tahfiz ke dunia profesional dengan keyakinan, kelayakan dan masa depan yang lebih terbuka,” katanya. Selain itu, Ahmad Zahid berkata Pahang telah membuktikan bahawa pendidikan tahfiz boleh dibangunkan sebagai satu laluan ilmu yang lengkap dengan bermula daripada peringkat awal kanak-kanak, disambung ke sekolah sehingga pentas antarabangsa. “Contohnya, usaha menyemai kecintaan kepada al-Quran sejak usia awal telah pun diterjemahkan di Pahang melalui ilham Sultan Pahang (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) menerusi Tadika Tahfiz Negeri Pahang. "Daripada asas awal inilah, Pahang membina laluan tahfiz yang lebih tersusun, berperingkat dan memberikan makna besar kepada masa depan anak-anak huffaz,” katanya. Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kerajaan sedang memperhalusi impak serta keberkesanan pelaksanaan penambahbaikan Dasar Tahfiz Negara 2.0 mulai tahun ini. “Dalam kerangka ini, beberapa inisiatif penting telah diperkenalkan, antaranya TVET Tahfiz, Sijil Tahfiz Malaysia 2.0, Sijil Perakuan Hafazan Bertahap, Skim Pembiayaan Huffaz, Mushaf Al-Quran Huffaz melalui Nasyrul Quran, Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia, serta kerjasama strategik dengan Institusi Pengajian Tinggi dan institut kemahiran,” katanya. Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Pahang dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta Majlis Amanah Rakyat (MARA), sebagai langkah memperkukuh pembangunan pendidikan tahfiz serta memperluas peluang kemahiran kepada golongan huffaz. -- BERNAMA   
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035